15November2018

Pendakwaan Zahid... agenda zalim rejim Mahathir - DAP untuk 'bunuh' UMNO

Apa yang berlaku kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi adalah agenda zalim rejim Tun Dr. Mahathir Mohamad serta DAP, kata Datuk Seri Mohd. Puad Zarkashi.

Jelasnya, pendakwaan terpilih itu semata-mata untuk memalukan UMNO, menekan UMNO, memecah belahkan UMNO, menakutkan pemimpin UMNO lain serta mengelirukan ahli UMNO. Juga meyakinkan rakyat bahawa pemimpin UMNO memang korup.

"Puas hati Tun M kerana berjaya menghina dua pemimpin utama UMNO iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ahmad Zahid sendiri,"

"Malahan sehingga mereka terpaksa aib ‘turun naik’ mahkamah beberapa kali waima perlu tidur di lokap. Bukan itu sahaja, anggota keluarga mereka turut didera dan dimalukan secara besar-besaran,"katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, sasaran Tun M hanyalah UMNO. Sebab itu tidak ada pula mana-mana pemimpin MCA, MIC dan GERAKAN yang disiasat atau didakwa.

Kenapa? Jawapannya mudah, Tun M tidak berminat pun.

Ketiga-tiga parti berkenaan pada hemat beliau sudah mati. Tidak perlu dimatikan lagi. Tetapi UMNO pula nampak ‘liat’ untuk mati. Tun M kecewa kerana selepas PRU ke-14, UMNO belum lagi mati.

Puad mendakwa Mahathir berjaya menakutkan Datuk Seri Mustapa Mohamad yang dianggap sebagai Mr Clean dalam UMNO.

"Tok Pa berjiwa kecil. Setelah disoal siasat beberapa jam oleh pihak berkuasa, beliau terus umum keluar parti.

"Alhamdulillah, mujur tidak ada siapa pun yang mahu mengikuti jejaknya hatta pemimpin akar umbi di Jeli dan Kelantan.

"Kini, gelaran Mahazalim dan Mahafiraun kembali berkumandang lagi,"ujarnya.

Mustapa bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO mengumumkan keluar parti baru-baru ini tanpa memberikan alasan kukuh.

Ketua UMNO Batu Pahat itu berkata Mahathir memekakkan telinga dan membutakan mata atas kemungkaran di depan mata apabila kes terhadap Lim Guan Eng digugurkan oleh mahkamah. Semua itu perancangan Mahathir.

"Jika tidak, masakan Mahathir berani melantik Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan pada ketika dia masih dalam perbicaraan mahkamah atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa,

"Insya Allah, lambat laun giliran Mahathir pula untuk dimalukan akan sampai juga. Manusia merancang dan Allah merancang. Tetapi Allah sebaik-baik perancang,"katanya.

SPRM dalam kenyataannya memaklumkan Ahmad Zahid akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

SPRM berkata Ahmad Zahid ditahan pada 3.15 petang di Ibu Pejabat SPRM dan akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada pukul 8.00 pagi esok untuk pertuduhan itu-19/10/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 846  tetamu dalam talian