15November2018

NGO Felda gesa Azmin turun padang... lebih berkerja dari bercakap

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali digesa melebihkan tindakan daripada hanya terlalu kerap bercakap berhubung kemelut yang melanda urus tadbir Felda.

Penasihat Pertubuhan Suara Generasi Kedua Felda (SGK2F) Datuk Zulkefli Nordin, mereka benar-benar berminat ingin mengetahui apakah pembersihan dalaman Felda yang Azmin maksudkan.

Sebagaimana dalam satu kenyataan di Facebook miliknya, menurut Zulkefli tiada seorang pun pengurusan agensi tersebut yang dipecat akibat salah laku oleh kerajaan baharu.

“Hanya pengurus besar Felda yang tamat kontrak dan tidak disambung tetapi bukan atas alasan salah laku, walaupun terlalu banyak rungutan tentang cara pentadbirannya.

“Tan Sri Shahrir Samad mantan pengerusi melepaskan jawatan secara sukarela apabila Barisan Nasional (BN) kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas. Datuk Zulkifli Wahab mantan Pengerusi Felda Technoplant (FTP) pula tidak disambung kontrak. Pengerusi Felda, FTP dan pengurus besar Felda yang ada sekarang dibawa masuk setelah ada kekosongan,” jelasnya.

Begitu juga ujarnya pendakwaan terhadap pengurusan kanan Felda telah dimulakan ketika zaman pemerintahan BN tetapi ianya menjadi senyap sejak Pakatan Harapan (PH) mentadbir.

“Tan Sri Isa Abdul Samad mantan Pengerusi Felda dan beberapa orang lagi pengurusan kanan Felda ditangkap dan disiasat serta telah dituduh di mahkamah sebelum kerajaan BN tewas PRU yang lepas.

“Bukan kerajaan sekarang yang mendakwanya. Ianya dilakukan di zaman Kerajaan BN. Sekarang isu ini senyap bila kerajaan PH berkuasa,” katanya.

Zulkefli turut mengingatkan kepada Azmin, sebagai menteri yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga Felda bahawa permasalahan yang berlaku di agensi tersebut tidak akan selesai jika pembuat dasar (kerajaan) sahaja yang bertukar.

“Seluruh pengurusan Felda yang sebelum ini dilihat bersekongkol dan menjadi talibarut pengurusan lama yang dilihat menjadi punca kejatuhan Felda perlu disiasat dan diambil tindakan!

“YB (Yang Berhormat) Menteri tak perlu kerap cakap banyak. Kami cuma mahu tindakan,”tegasnya.

Zulkefli juga menyatakan belum kelihatan kerajaan PH bertindak terhadap pengurusan yang tidak amanah dan salah guna kuasa di Felda serta menyelesaikan masalah yang menjadi himpitan peneroka.

“Salah urus tadbir ladang hingga pendapatan peneroka jatuh dan beban hutang terhadap peneroka amat memeritkan. Penyata hutang yang sehingga kini caca marba dan tidak dimuktamadkan sebenarnya ini juga satu kelalaian dan kegagalan pengurusan Felda dalam menunaikan tanggungjawab mereka.

“Kenapa pelaksana dasar ini masih bebas berada di Menara Felda? Tidak keterlaluan saya nyatakan ada juga sesetengah pengurusan yang diberi tanggungjawab menguruskan anak syarikat Felda untuk menguruskan ladang peneroka Felda buat syarikat macam milik emak ayah sendiri.

“Turun padang la YB. Tengok sendiri apa yang berlaku di bawah. Maaf,” tegas anak peneroka Felda Soeharto itu lagi.-18/10/2018

-Media UMNO

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 799  tetamu dalam talian