25September2018

Najib tidak pernah campur urusan parti - SUA UMNO

Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa menegaskan bahawa bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah mencampuri urusan hal pentadbiran parti sejak meletakkan jawatan.

Annuar berkata, UMNO di bawah pimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan saf kepimpinan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) baharu, urusan parti tiada masalah dari segi pentadbiran.

Malah katanya, barisan kepimpinan baharu itu juga telah memulakan pelbagai transformasi dan aktiviti parti.

"Kenapa nak tuduh DSN (Datuk Seri Najib) mencampuri hal pentadbiran UMNO? Sejak beliau meletakkan jawatan, beliau tidak pernah campur hal pentadbiran parti.

"Perjuangan parti kita teruskan walaupun tanpa DSN, malah beliau sendiri amat konsisten berpendirian bahawa UMNO itu lebih penting dari individu...inilah rahsia kekuatan kita," katanya dalam satu kenyataan.

Pada 10 Ogos lalu, bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik menggesa kepimpinan UMNO bertindak berani melaksanakan langkah drastik, termasuk menyingkirkan Najib daripada parti itu jika mahu memperbaiki imej parti keramat Melayu itu yang kini sudah musnah di mata rakyat dan ahli parti itu sendiri.

Susulan kenyataan itu, bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut menyatakan pendirian yang sama.

Dalam pada itu, Annuar berkata, Najib akan terus dihormati sebagai seorang bekas presiden yang setia kepada parti, apatah lagi beliau amat berjasa kepada UMNO, BN dan negara.

"Najib juga masih lagi ahli Umno setia dan merupakan Ketua UMNO Bahagian Pekan yang dipilih semula, selain wakil rakyat selepas menang pilihan raya umum baru-baru ini.

"Sebagai ahli Parlimen, beliau mempunyai hak tertentu yang di jamin oleh perlembagaan parti. Itu mesti di hormati," katanya.-16/8/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 592  tetamu dalam talian