21Mei2018

Meninjau kerusi DUN Buntong yang menjadi rebutan...

Pakatan Harapan kini bimbang dengan keputusan Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk bertanding di DUN Buntong di Perak pada PRU14.

DUN Buntong, diwakili DAP pada pilihanraya lalu namun atas kertas, pada PRU14, dijangka akan berlaku pertandingan tiga penjuru antara penyandang DAP, PSM dan BN.

Dalam PRU 13, BN terpaksa berdepan satu lawan satu dengan calon pembangkang menyaksikan calon DAP, muncul pemenang.

Menurut  Ahli Jawatankuasa PSM Pusat, S Arutchelvan berkata, bagi DUN Buntong calon yang mereka letakkan ialah  R Mohanarani (Buntong) dan berharap pembangkang lain tidak menganggu mereka.

PSM berharap berlaku pertandingan satu penjuru bagi memastikan parti kerdil itu tidak seperti kerakap—hidup segan mati tak mahu.

Sedang Pakatan Harapan berdepan isu calon bagi Buntong, BN juga tidak terlepas dari menentukan siapa calon mewakili BN--MIC atau MyPPP.

Kedua-dua parti komponen BN ini sudahpun menyuarakan hasrat bertanding. Dalam  hal ini,MIC jauh lebih dominant.

Selain MIC , Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP) juga turut berhasrat untuk bertanding di situ.

Pada 5 Mac lepas, Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas berkata, pihaknya berhasrat  untuk bertanding kerusi DUN Buntong sekiranya diberi peluang oleh pucuk pimpinan tertinggi BN.

Bagi Anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, Datuk M. Saravanan, pihaknya melihat tiada sebab untuk kerusi DUN berkenaan yang kini disandang PKR diserahkan kepada parti komponen lain dalam Barisan Nasional (BN).

Bagi beliau, MIC wajar diberi peluang untuk terus bertanding di DUN itu atas alasan pelbagai aktiviti berbentuk kemasyarakatan yang dianjurkan MIC turut mendapat sambutan daripada semua golongan termasuk para belia di kawasan DUN tersebut.

``Aktiviti yang dijalankan MIC di DUN Buntong bukan hanya mengambil kira berkaitan pilihan raya malah ia dilaksanakan demi meningkatkan taraf ekonomi dan sosial terutama masyarakat kaum India di sini,” katany.

Saravanan, yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan, berkata hasrat yang diluahkan oleh Kayveas itu tidak lebih daripada cadangan peribadi beliau atau MyPPP sendiri.

Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam, juga sebelum ini  berkata, semua orang boleh melobi untuk menjadi calon, ia tidak salah tetapi akhirnya keputusannya akan ditentukan dan diputuskan oleh  Pengerusi BN  Datuk Seri Najib Razak.

``Semua orang boleh melobi untuk jadi calon, ia tak salah, tetapi bila Pengerusi BN Malaysia (Datuk Seri Najib Razak) dah buat keputusan, kita perlu satu hati, jangan sabotaj, kalau sabotaj calon kita, MIC yang akan jadi mangsa.

"Kalau tiada wakil MIC di DUN (Dewan Undangan Negeri) tidak akan ada EXCO dari MIC dan siapa yang akan wakili dan suarakan hasrat serta keperluan masyarakat India di Perak," katanya.

Baru-baru ini, dalam Majlis Sambutan Deepavali Badan Perhubungan MIC Perak di Dewan Serbaguna RPT Seri Desa Rishah dekat Buntong, Menteri Kesihatan itu turut hadir.

Dalam ucapannya, beliau berkata menjelang PRU yang akan berlangsung tidak lama lagi, ahli perlu bersama memastikan calon parti itu dan BN menang dan tidak mengganggu antara satu sama lain.

Dalam nada kesal, beliau berkata, ketika ini MIC tidak mempunyai satu wakil pun di Perak dan itu adalah satu kerugian yang besar.

Beliau berharap ahli MIC  belajar daripada kekalahan lalu dan ketiadaan wakil berkenaan dan terus bersatu bagi memastikan kemenangan kerana tiada wakil MIC adalah sesuatu yang merugikan.

Sementara itu, Zambry dalam ucapannya ketika merasmikan majlis itu berkata, mesej yang disampaikan Dr Subramaniam itu perlu disambut baik bagi memastikan ada wakil BN dari MIC dalam DUN.

``Tidak ada yang mustahil kerana yang paling penting adalah semangat dan kerjasama dalam memastikan kemenangan wakil BN," katanya.

Pada PRU13,  calon DAP A. Sivasubramaniam menang kerusi DUN Buntong dengan mengalahkan calon BN, C. Sivarraajah dari MIC dan dua calon Bebas -- Sebastiar Iruthiyam dan Mohd Basri Safie dengan majoriti 8,629 undi.

PSM dan DAP bergaduh... MIC kini boleh tersenyum.-7/2/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 959  tetamu dalam talian