15Disember2017

Mengintai kebangkitan 'Mantan Pemuda'...

Ruang legar tingkat sembilan Hotel Sunway Putra depan PWTC penuh sesak Rabu malam.

Kerusi dan meja ditambah di kiri kanan lorong menuju ke dewan utama hotel tersebut ketika bekas-bekas pemimpin Pemuda UMNO mengadakan pertemuan.

"Lebih 2,000 orang yang daftar," kata urussetia program kepada Agendadaily.

Program "Perjumpaan Mantan Pemuda' itu idea bekas Ketua Pemuda UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein sejak empat tahun lalu.

Kumpulan yang diketuai bekas Setiausaha Kerja Pemuda UMNO Datuk Seri Zulkifli Alwi itu sering mengadakan berbagai program untuk Mantan Pemuda.

Rabu malam separuh daripada pemimpin MT UMNO berada di pentas tersebut yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga merupakan bekas Ketua Pemuda UMNO.

Rombongan Zahid-Hisham yang masuk ke dewan utama tepat jam 10.20 malam disambut dengan lagu 'Inilah Barisan Kita' yang bergema dan membangkitkan semangat.

Dalam ucapannya, Zahid berkata Mantan Pemuda UMNO merupakan aset penting kepada parti kerana sumbangan dan peranan mereka sememangnya amat besar bagi memastikan parti itu terus relevan sehingga kini.

Zahid, yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, berkata bagi mengekalkan kelangsungan parti, mantan Pemuda UMNO diminta mengetepikan sifat 'assabiah' dan semangat 'kabilah' serta bersama-sama mencurahkan segala ilmu pengetahuan yang ada kepada pemimpin-pemimpin muda.

"Biarpun ada tembok mahupun kubu menghalang tapi apabila bertekad, kita wajib tentukan kemenangan," katanya

Dalam pada itu, Zahid meminta perjumpaan seperti itu diperluaskan kepada mantan-mantan kepimpinan Pemuda dalam kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang akan turut memberikan semangat kekitaan dalam diri anggota komponen BN.

Hishammuddin dalam ucapan ringkasnya menyeru bekas-bekas Pemuda mencurahkan pengalaman kepada orang muda selain merapatkan saf dengan membantu calon-calon BN beroleh kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang.

Majlis berbentuk santai yang diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 itu bertujuan mengeratkan kembali hubungan silaturahim sesama rakan seperjuangan semasa bergiat dalam Pergerakan Pemuda UMNO.

Perhimpunan Agung UMNO 2017 berlangsung bermula 5 Dis hingga Sabtu ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dengan 5,739 perwakilan menghadiri perhimpunan itu.-7/12/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 1008  tetamu dalam talian