25September2018

Malaysia menuju 2019 dengan ekonomi yang suram...

Ekonomi negara dalam keadaan tenat selepas empat bulan Pakatan Harapan memerintah negara, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Menurutnya mata wang negara merudum, pendapatan negara berkurangan, projek pembangunan banyak yang terhenti menandakan Malaysia akan memasuki 2019 dalam keadaan ekonomi yang suram dan tidak memberangsangkan.

“Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, Barisan Nasional (BN) dan pakatan sama-sama berjanji untuk menyeragamkan gaji minimum di seluruh negara kepada RM1500.00.

“BN berjanji untuk meningkatkan gaji minimum pekerja secara berperingkat kepada sekurang-kurangnya RM1,500 dalam tempoh lima tahun. Oleh kerana BN menjanjikan secara beransur-ansur, sebahagian besar kesatuan sekerja menyokong dan merestui PH kerana mereka mengharapkan bulan jatuh ke riba dengan segera, namun akhirnya?”

Jelasnya yang juga Ahli Parlimen Padang Terap, Kesatuan Sekerja yang menyokong PH dalam pilihan raya lalu juga lupa bahawa selama 22 tahun pemerintahan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, beliau tidak pernah membenarkan Akta Gaji Minima digubal.

“Hanya pada ketika Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, kerajaan memperkenalkan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 dan pada 2012 kerajaan BN menguatkuasakan Perintah Gaji Minimum.

“Kali pertama diperkenalkan kerajaan menetapkan gaji minimum Semenanjung Malaysia RM900 sebulan atau RM4.33 sejam, manakala Sabah, Sarawak dan Labuan pada kadar RM800 sebulan atau RM3.85 sejam.

“Jika sesiapa masih ingat ketika akta ini dibentangkan Tun Dr Mahathir ada membuat komen mengkritik pengenalan gaji minimum boleh menjejaskan pertumbuhan perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujar beliau, pada 2016 kerajaan menguatkuasakan Akta Gaji Minimum baharu dengan kenaikan dari RM900 kepada RM1000 sebulan di Semenanjung; dan RM920 sebulan di Sabah, Sarawak dan Labuan dari kadar RM800 sebelum ini yang merupakan peningkatan antara RM100-120.

“Jika BN memerintah, kenaikan seterusnya adalah sekitar RM1200-1250 sebulan, tetapi sebilangan rakyat telah membuat keputusan mengundi PH dengan pelbagai janji mereka, maka bertabahlah para pekerja dan rakyat Malaysia.”-7/9/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 587  tetamu dalam talian