09Disember2018

Mahdzir Khalid nak lepas jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu kepada pemimpin tempatan…

Baru saja dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu pada 14 Julai lalu,Datuk Seri Mahdzir Khalid merasai adalah lebih sesuai jawatan itu digalas oleh anak negeri sendiri yang lebih memahami keadaan setempat.
 
Naib Presiden UMNO yang berasal dari Kedah itu kata beliau berhasrat untuk  melepaskan jawatan di Terengganu itu dalam waktu terdekat.
 
Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap beritahu demikian pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan UMNO Negeri Terengganu di Ibu Pejabat UMNO negeri di Kuala Terengganu Selasa.
 
Ini adalah mesyuarat pertama yang dipengerusikan beliau sejak dilantik Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu.
 
Mesyuarat yang berlangsung kira-kira lebih dua jam bermula pukul 3 petang ini dihadiri kesemua lapan Ketua UMNO Bahagian termasuk Datuk Din Adam (Ketua UMNO Dungun) yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri selain bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
 
Beliau dilantik ke jawatan itu mengantikan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.
 
Mahdzir tidak memberikan sebarang bayangan siapa bakal pengganti.
 
“Saya tidak berhasrat jadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri untuk tempoh yang lama. Saya cadang (serahkan jawatan) dalam masa terdekat ini, kita boleh serah kepada mereka yang lebih layak dan sesuai untuk teruskan perjuangan parti,” katanya.
 
Ditanya bila penyerahan tugas itu dijangka dilakukan, Mahdzir bagaimanapun tidak menjelaskan perkara itu namun menambah, “ tunggulah tiba masa yang sesuai nanti”.
 
Ditanya pula sama ada cadangannya untuk menyerahkan jawatan atas desakan mana-mana pihak, beliau berkata, tiada masalah yang berlaku dalam badan perhubungan UMNO negeri sebagaimana didakwa.
 
“Tidak ada masalah (desakan), semua ini atas dasar perasaan (semangat) sesama kita dalam UMNO yang kita tanam dalam perhubungan, saya rasa lebih sesuai kepemimpinan datang daripada anak negeri ini (Terengganu) sendiri.
 
“Mereka lebih faham untuk uruskan masa depan parti di negeri ini dan bagaimana untuk berdepan dengan pilihan raya (akan datang). Adalah lebih baik kita ada perancangan awal,” jelasnya.- 7/8/2018
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 429  tetamu dalam talian