17Januari2018

Mahathir digunakan DAP untuk naikkan undi Melayu...

Keputusan Pakatan Harapan (PH) yang ingin melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri jika memenangi Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU-14) bukan sahaja menunjukkan pembangkang ketandusan pemimpin untuk diangkat, sebaliknya memberi peluang kepada rakyat melihat kepincangan yang wujud di dalam parti itu.

Bekas Setiausaha PKR Selangor, Nazmi Rosli (kanan) berkata, keputusan yang dibuat oleh pakatan itu perlu dilihat dari pelbagai sudut kerana mungkin bekas Perdana Menteri itu hanya dipergunakan DAP untuk menaikkan undi orang Melayu kerana pengundi Melayu dalam PKR tidak mampu untuk ditambah.

"Jika Perdana Menteri dilantik daripada PKR, mungkin ramai tidak tahu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak sependapat dengan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Mereka dua kumpulan yang berbeza.

"Jika Azmin dicalonkan sebagai Perdana Menteri, tidak mungkin beliau sanggup serahkan jawatan itu kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana beliau masih muda. Parti Amanah Negara (PAN) tidak boleh kata apa, hanya mengikut sahaja.

"Di sini rakyat perlu bijak menilai jika sekadar untuk menjadi Perdana Menteri interim, mengapa pilih Tun Mahathir?. Ini merupakan langkah ke belakang," katanya pada program Diskusi Anda Tanya Kami Jawab bersama Tan Sri Annuar Musa (TSAM) melalui UMNO Online FB Live yang bertajuk 'Polemik PM Pakatan Harapan' bertempat di Auditorium UMNO pada Rabu.

Antara ahli panel lain ialah Ahli Jawatankuasa Alumni Kelab UMNO Luar Negara, Dr Kusyairi Ahmad; Ahli Jawatankuasa Penerangan MIC Pusat, A Subash Chandrabose; Presiden Pertubuhan Anak Perak, Faizal Lentin; Pengarah Operasi Aktivis Belia Malaysia (MALAYA), Farhan Khairuddin dan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa bertindak sebagai moderator.

Tambah Nazmi, walaupun keputusan mencalonkan Tun Mahathir itu sudah boleh dijangka, namun ia mengejutkan kerana beliau yang memiliki jiwa besar dan bergelar negarawan sanggup menerima tawaran tersebut.

"Tun Mahathir memiliki levelnya tersendiri, berstatus negarawan. Mengapa perlu undur ke belakang, bertanding pada PRU dan turun untuk berkempen? Saya yakin mungkin ada perjanjian yang dibuat untuk menyerahkan jawatan nombor satu negara itu kepada Anwar.

"Mereka telah membuat rakyat keliru. Kenapa Tun Mahathir? Kenapa DAP dan PKR sebulat suara setuju keputusan itu? Kenapa Wan Azizah setuju sedangkan siapa yang membuat suaminya merengkok dalam penjara?," katanya.

Sementara itu, Dr Kusyairi pula melihat pencalonan Tun Mahathir harus diambil peluang oleh UMNO untuk bekerja keras menyakinkan rakyat bagaimana PH akan mentadbir negara jika mereka menang PRU14 nanti.

"Inilah drama yang sangat menarik dan rakyat boleh nilai Pada masa yang sama UMNO perlu yakinkan rakyat bagaimana pakatan pembangkang kalau diberi peluang untuk tadbir negara. Apakah ini pelan yang mereka mahukan dalam abad sekarang?

“Perdana Menteri interim kemudiannya diserahkan kepada  Anwar dan kemudiannya kena masuk Parlimen dan buat pilihan raya kecil. Macam-macam cerita dan adakah ini masa depan yang ingin kita gadaikan .

“UMNO perlu ambil peluang, yakinkan kembali rakyat yang termakan politik persepsi dan ambil kepincangan yang berlaku di dalam pakatan hari ini untuk tunjukkan kepada rakyat hakikat sebenarnya yang berlaku di dalam pakatan mereka,” ujarnya.

Farhan yang mewakili golongan mahasiswa pula berkata, golongan pelajar institusi pengajian tinggi sekarang ini dilihat lebih proaktif.

"Tiada alasan untuk mereka (mahasiswa) mengatakan kerajaan masa kini tidak baik, tiada alasan untuk mereka terima kembali Tun Mahathir. Kejayaan pembangkang yang membawa kepada sokongan mahasiswa adalah kerana figura Anwar dan bukan Tun Mahathir kerana dia yang membuat idola kita merengkok dalam penjara.

"Mahasiswa perlu tahu, UMNO yang mampu melaksanakan konsep meremajakan parti. Tak mungkin kita (orang muda) nak meremajakan parti dengan dipimpin oleh individu yang umurnya hampir satu abad," katanya.-11/1/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 962  tetamu dalam talian