16Oktober2018

Lokman Adam 'lali sepak terajang' politik

Mula melibatkan diri dalam bidang politik seawal usia 15 tahun, Datuk Lokman Noor Adam boleh dikatakan sudah lali dengan 'sepak terajang' politik dengan pernah dipecat daripada dua parti malah pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) (kini sudah dimansuhkan).

Bermula sebagai anggota biasa , keikhlasan serta kegigihan anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu dalam memperjuang agenda Melayu dan parti telah menaruh kepercayaan akar umbi sehingga dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO Cawangan Taman Kluang, Johor sekitar tahun 1991 pada usia 18 tahun.

Pelbagai jawatan terus disandangnya pada awal pembabitan dalam politik antaranya Setiausaha Majlis Kebudayaan dan Kesenian Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Anggota Jawatankuasa (AJK) Majlis Pembangunan Luar Bandar dan AJK Majlis Sains dan Teknologi Pemuda UMNO Malaysia sekitar tahun 1996 hingga 1998.

Langit tidak selalu cerah apabila lulusan ijazah Sarjana Pengurusan itu dipecat daripada parti kesayangannya pada 1998 ekoran tindakannya menegur presiden parti ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad berkaitan isu tertentu.

Detik hitam itu tidak sesekali mematahkan semangatnya dalam politik sebaliknya beliau terus menyertai PKR sebagai anjakan untuk memperjuang keadilan dan hak asasi sejagat.

Beliau juga pernah dilokap sebanyak lapan kali dan ditahan di bawah ISA pada 1998 kerana mengetuai demonstrasi mempertahan hak bersuara dan berhimpun bagi memperjuangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipecat sebagai timbalan perdana menteri atas dakwaan rasuah dan liwat.

Ketika bersama PKR, Lokman Noor dilantik sebagai Ketua Pemuda PKR Johor yang pertama pada sekitar tahun 1999 dan dipilih sebagai anggota Majlis Pimpinan Tertinggi dalam pemilihan pertama parti tersebut.

Bagaimanapun, detik hitam sekali lagi menimpa beliau apabila dipecat daripada PKR pada 2004 kerana menegur tindakan Ketua Pemuda PKR ketika itu, Ezam Md Nor berkaitan isu tertentu.

Pengalaman bersama dua parti telah mengajarnya erti mendalami maksud perjuangan sebenar apabila pada tahun 2006, Lokman Noor menyertai semula UMNO di Bahagian Shah Alam..

Walaupun pernah dipecat daripada parti, pengalaman dan kewibawaannya dalam politik membolehkan beliau dilantik sebagai Exco Pemuda UMNO Shah Alam dan Exco Pemuda UMNO Malaysia bagi penggal 2008-2013.

Sejak itu, Lokman Noor terus tetap dalam perjuangannya bersama UMNO dan dilantik memegang pelbagai jawatan antaranya pengerusi Unit Pidato Pemuda Barisan Nasional dan UMNO (2009-2013), Anggota Badan Pemikir Penerangan UMNO Malaysia (2016-2018), Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan (2016-2018), Presiden Pemantauan Malaysia Baharu 2018 dan Anggota Majlis Tertinggi UMNO (2018-2021).

Dilahirkan pada 1 Jan 1973, Lokman Noor berkelulusan Ijazah Sarjana Pengurusan daripada Universiti Tun Abdul Razak dan Diploma Siyassah Syariah dan Kepimpinan Islam daripada Institut Pengajian Ilmu-Ilmu Islam, Kelantan (kini Kolej Islam Sains dan Teknologi).

Beliau mendirikan rumahtangga dengan Nur Fazilah Ahmad Muhyidin dan dikurniakan 10 anak berusia antara 19 hingga dua tahun.

Lokman Noor, 45, dipilih sebagai calon BN untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos ini.

PRK DUN Sungai Kandis diadakan berikutan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei, pada 2 Julai lepas akibat kanser limfoma.-21/7/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 560  tetamu dalam talian