19November2017

Ku Nan tidak gentar bertanding lawan Mahathir di Putrajaya

Jika begitu takdirnya... Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Ku Nan) tidak gentar untuk bertanding melawan Tun Mahathir Mohamad di Parlimen Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Malah, Menteri Wilayah Persekutuan itu yakin untuk memenangi hati pengundi Putrajaya setelah memenangi beberapa PRU di parlimen tersebut.

Katanya, beliau mendapat tentangan daripada pihak pembangkang sejak PRU Ke-11 iaitu pada 2004.

“Saya percaya pengundi-pengundi Putrajaya tahu prestasi saya sebagai wakil rakyat. Saya dengan penduduk Putrajaya seperti keluarga walaupun pengundi berjumlah 25,000 orang, saya akan dekati mereka dan bertanya masalah.

“Perkara utama adalah bagaimana menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka dan dekati hati mereka. Kalau buat begini, rakyat akan bersama dengan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Sebelum ini Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu memberitahu media bahawa terdapat kemungkinan untuk beliau bertanding di Putrajaya pada PRU akan datang.

Pada PRU-11 (2004) dan PRU-12 (2008), Tengku Adnan ditentang oleh bekas Timbalan Presiden PKR, Abdul Rahman Othman manakala bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa pula pada PRU-13 iaitu pada tahun 2013.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MyPPP Wilayah Persekutuan dan Pelancaran Jentera PRU-14 MyPPP di Institut Latihan DBKL, Ahad.

Turut hadir Presiden MyPPP Tan Sri Dr M Kayveas, Naib Presiden Kanan parti Datuk Seri Maglin Dennis D Cruz, Naib Presiden Datuk Dr Loga Bala Mohan Jeganathan yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, dan Naib Pengerusi MyPPP Wilayah Persekutuan Datuk Zakaria Abdul Rahman.

Ku Nan dalam ucapannya menggesa MyPPP Wilayah Persekutuan mengadakan sesi 'townhall' dikalangan masyarakat elit di sekitar Wilayah Persekutuan bagi mendapat pandangan dan mengambil tahu permasalahan mereka.

Sebagai komponen Barisan Nasional (BN), MyPPP dipertanggungjawabkan untuk mendekati golongan elit yang terdapat di kawasan Damansara,  Bangsar,  Taman Tun Dr Ismail,  Bukit Tunku dan beberapa kawasan lagi.

Menurutnya  golongan  itu tidak seharusnya 'ditakuti' semata-mata mereka mempunyai taraf hidup lebih baik atau corak pemikiran lebih kritikal, sebaliknya faktor tersebut perlu dijadikan sandaran untuk MyPPP dan BN mendapatkan input menyeluruh.

"Kenapa BN mempunyai pekerja takut masuk ke kawasan elit, dan berminat masuk kawasan PPR (Projek Perumahan Rakyat) ? Kenapa tak masuk kawasan Taman Tun Dr Ismail, Bangsar, Damansara, ramai orang yang memiliki kemewahan dan berjaya..mereka juga mempunyai keperluan.

"Kita seharusnya boleh mengadakan sesi town hall bersama mereka (golongan elit) untuk membincangkan permasalahan dan keperluan mereka, dapatkan idea.

"Kita nak masyarakat tahu parti kita (BN) bukan untuk orang miskin saja, tetapi untuk semua," katanya.- 8/10/2017-OLEH LUKMAN ABDULLAH

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 491  tetamu dalam talian