26April2018

Johor Hi-5 : 230 tawaran BN buat rakyat Johor...

Barisan Nasional (BN) Johor melancarkan manifesto bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bertemakan 'Team Johor Untuk Dekad Baharu: Tawaran Masa Hadapan' yang mengandungi 230 tawaran dan perancangan untuk rakyat Johor.

Pengerusi BN Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata manifesto yang digelar 'Johor Hi-5' itu mengandungi lima tawaran utama iaitu Pertumbuhan Ekonomi Nan Sejahtera; Penyediaan Prasarana Komprehensif; Pembangunan Minda, Bakat dan Kemahiran Bangsa Johor; Kepimpinan Berprestasi Tinggi dan Pembentukan Sebuah Masyarakat Yang Lestari, Islami dan Berbudaya.

"Tawaran ini disusun dengan dipimpin oleh tiga sasaran iaitu memenuhi keperluan dan meningkatkan kesejahteraan bangsa Johor secara keseluruhannya, memposisikan Johor sebagai kuasa ekonomi baharu selatan yang mempunyai sumbangan yang tersendiri, besar dan bermakna kepada Malaysia serta mempersiap dan melonjakkan Johor sebagai pesaing kepada semua terutamanya Singapura."

"Kita tidak akan biarkan Johor sekadar menjadi halaman belakang kepada sesiapa pun. Apatah lagi sekadar menjadi pemerhati Singapura. Jadi, dalam perkara ini, Johor yang jolokannya adalah 'harimau selatan', akan mula menunjukkan taring dan belangnya. Dan misi spesifik ini, saya gelarkan sebagai, 'Mengejar Singa'," katanya berucap melancarkan Manifesto BN Johor, di sini hari ini.

Hadir samaTimbalan Pengerusi BN Johor Datuk Dr Abdul Latif Ahmad, Pengerusi MCA Johor Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Pengerusi MIC Johor Datuk M. Asojan dan Pengerusi MyPPP Johor Datuk Dr Sivakumar.

Selain lima keutamaan tersebut, BN Johor turut memberikan fokus kepada lima kumpulan sasar iaitu Orang Muda Johor (OMJ), komuniti Felda, golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), masyarakat Orang Asli serta kaum wanita dan ibu.

Menerusi tawaran di dalam manifesto berkenaan, ia menyentuh semua aspek kesejahteraan hidup masyarakat dan menjamin tiada siapa yang akan dipinggirkan bagi menghadapi pelbagai cabaran dengan mengambil kira keperluan kesemua daerah di Johor untuk tempoh lima tahun akan datang.

Keutamaan turut diberikan dalam usaha mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, memperkasa agenda perumahan, menjayakan projek mega, mencipta lebih banyak peluang pekerjaan serta keusahawanan yang secara dasarnya dirangka dengan meletakkan rakyat sebagai keutamaan dalam setiap pertimbangan.

Mohamed Khaled berkata antara tawaran kepada rakyat negeri ini adalah pemberian RM50 simpanan pendidikan kepada setiap bayi kelahiran Johor, pemberian wang saku RM100 kepada pelajar tahun 1 mengikut kelayakan, penubuhan Pusat Asuhan Muafakat Johor dan memperluas perkhidmatan percuma Bas Muafakat Johor ke kawasan sekolah, perumahan dan industri.

Beliau berkata BN juga komited untuk menjayakan projek-projek mega bagi memacu ekonomi Johor termasuk menyiapkan Petrochemical Intergrated Development Project (RAPID), membangunkan Taman Industri Pengerang bernilai RM1.1 bilion dan meneruskan pembangunan Johor Bio Desaru Food Valley (Pusat Koloni Lembu Tenusu, Pusat Bio Benih, Lembah Tenusu Jemaluang).

Selain itu, pusat pelancongan bersepadu Desaru Coast di Desaru yang bernilai RM4.5 bilion juga disiapkan dengan dilengkapi pelbagai kemudahan dan hotel terkemuka dunia serta pembinaan Sci-Fi Universe berhampiran Legoland bernilai RM400 juta yang akan menjadi taman tema sains fiksyen pertama seumpamanya di dunia.

Mohamed Khaled berkata kerajaan BN juga komited untuk membangunkan Johor Eco Entertainment Park (JEEP) di Bandar Akademi YPJ Kota Tinggi bernilai RM2.7 bilion serta menghasilkan 250,000 peluang pekerjaan baharu termasuk 14,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi melalui Sektor Perkongsian Perkhidmatan dan Penyumberan Luar (GBS) Iskandar.

Bagi infrastruktur jalan raya dan lebuhraya pula, antara komitmen utama BN adalah memperuntukkan RM600 juta setahun untuk penyelenggaraan jalan-jalan kampung dan menjayakan Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti (SBST) berjumlah RM90 juta setahun selama lima tahun.

Di peringkat pengajian tinggi, mahasiswa Johor akan menikmati sekurang-kurang empat faedah seperti penambahan dan perluasan tabung pinjaman pendidikan tanpa faedah kepada lebih ramai mahasiswa Johor, peruntukan RM2,000 dana pengurusan kepada setiap persatuan mahasiswa anak Johor dan peruntukan RM1,000 bagi mahasiswa Johor yang berjaya melanjutkan pengajian ke universiti awam yang pendapatan isi keluarganya adalah RM3000 dan ke bawah.

Bagi Orang Muda Johor (OMJ), BN komited memberikan bantuan RM500 kepada OMJ yang kali pertama berkahwin yang berpendapatan mereka adalah RM3,000 dan ke bawah, pemberian rebat RM50 kepada OMJ di bawah umur 30 tahun untuk membuat pasport pertama mereka serta OMJ yang minat terhadap keusahawanan pula akan diberikan modal awalan sebanyak RM2,000 kepada 1,000 OMJ setiap tahun melalui Inisiatif OMJ Indienomics bagi membantu OMJ yang berumur 30 tahun dan ke bawah yang layak dan berpotensi.

Komuniti Felda juga tidak terkecuali dengan tawaran latihan kemahiran untuk 500 anak muda FELDA setahun, membangunkan program transformasi sosio-ekonomi serta menyelesaikan semua isu perwarisan dalam tempoh lima tahun.

Bagi golongan OKU pula, BN akan mewujudkan Orkestra Klasik Johor dengan menjadikan muzik sebagai instrumen pembinaan kapasiti anak-anak OKU dan mempromosikan secara meluas Festival Seni dan Kebudayaan OKU Johor.

Terdapat sekurang-kurangnya enam agenda pemerkasaan bagi golongan ibu dan wanita Johor termasuk menyediakan tapak khusus bagi mewujudkan Kompleks Wanita Tun Fatimah sebagai pusat niaga, kompleks busana, pusat kaunseling dan pembinaan kapasiti wanita Johor, menyediakan pemeriksaan mamogram secara percuma kepada semua wanita di Johor (mengikut kelayakan dan keperluan) serta memperkenalkan Hari Sukan Wanita.

Menurut Mohamed Khaled, BN Johor ingin mengajak seluruh Team Johor supaya bermuafakat dan memfokuskan usaha, tenaga dan masa depan untuk menjayakan Dekad Baharu Johor.

"Kita sudah tidak mahu lagi bertarung dengan mereka yang asyik bertukar wajah dan logo. Mereka yang mengejar kerusi dan mereka yang menjadikan PRU sebagai medan untuk menjatuhkan orang lain. Malah, kali ini, kita dapat lihat, roket pun sudah tidak terbang lagi. Bunga yang konon menguntum, kini sudah menguncup. Yang ada hanyalah bulan terbelah," katanya.-14/4/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 975  tetamu dalam talian