19Jun2018

Janji PH kekal BR1M bukti formula BN terbaik untuk negara

Sudah terbukti... memang selama ini Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) hasil inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dimomok pembangkang merupakanformula terbaik untuk mengagihkan subsidi secara tersasar.

Sebab itu, walaupun pernah mengecam teruk BR1M sebagai 'rasuah' 'dedak' dan sebagainya pemimpin pembangkang kini bagaikan ‘menjilat ludah sendiri’ apabila menerima pakai malah tersenarai dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketua Pemuda BN Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak terkecuali turut menghina BR1M sebagai ‘dedak’ hingga mengguris perasaan penerima bantuan itu kini dilihat cuba meniru pendekatan BN.

“Mahathir pernah berkata BR1M adalah dedak, DAP kata rasuah dan PKR kata beli undi. Itu yang keluar dari mulut mereka sehingga ada pengikutnya yang jijik menerima BR1M dan mencerca golongan yang menerima bantuan ini.

“Hari ini, mereka menerima formula ini adalah terbaik untuk agihan bantuan kepada rakyat.

“Mereka tidak sedar bahawa duit yang diterima oleh rakyat ini boleh digunakan untuk membayar keperluan tahunan serta menampung perbelanjaan pakaian sekolah dan lain-lain,” katanya pada Jumaat.

Beliau mengulas Manifesto PH yang diumumkan malam semalam, antara lain mahu mengekalkan pemberian BR1M hanya kepada golongan B40 sekiranya mereka diberikan mandat untuk membentuk Kerajaan Persekutuan selepas PRU14.

Pelaksanaan BR1M pro-PH itu hanya akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun selepas mereka memerintah negara dan ia menjadi salah satu teras utama janji pilihan raya pembangkang.

Mohd Razlan juga mempersoalkan kejujuran pemimpin pembangkang untuk menunaikan janji pilihan raya itu yang sebelum ini menghina rakyat yang menerima BR1M.

“Hari ini, mereka berjanji akan meneruskan BR1M kerana apa? Adakah sekadar mahu menjaga hati rakyat yang sudah terguris dek penghinaan mereka?

“Rakyat semua perlu menghukum mereka yang sebelum ini menghina kamu, bantuan yang kerajaan pusat cipta iaitu BR1M tidak pernah dalam hati mempergunakan duit untuk membeli undi,” katanya.

Katanya lagi, rakyat hanya akan dipergunakan pembangkang dengan mengekalkan BR1M semata-mata mahu meraih sokongan rakyat sedangkan Kerajaan BN mewujudkannya semata-mata untuk membantu rakyat.

“Kerajaan Pusat mencipta BR1M untuk membantu rakyat yang memerlukan bantuan dan ia adalah formula agihan pendapatan kerajaan kepada rakyat terbaik difikirkan.

“Apa yang keluar dari mulut pembangkang semalam melalui janji pilihan raya mereka berbau bacing, busuknya sampai ke anak tekak.

“Mereka sudah menghina dan mencaci penerima BR1M, adakah anda mahu terus dipergunakan demi kepentingan Mahathir? Janji manusia pada mulutnya,” katanya lagi.-10/3/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 726  tetamu dalam talian