23September2018

Hilang keyakinan…lima Srikandi PPBM Kedah ucap selamat tinggal

Kata orang kalau tidak ada angin masakan pokok bergoyang.Nampaknya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) terus dibadai dengan angin hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti yang didakwa tidak menghiraukan pandangan serta teguran daripada peringkat akar umbi.

Dikalangan anggota wanita parti itu salah seorang orang kuat dan pengasas PPBM, Anina Saadudin ucap selamat tinggal pada 16 September.

Pada Ahad seorang exco pergerakan wanitanya yakni Srikandi ,Zuraini Kamal umum perletakan jawatan serta keluar daripada parti.

Zuraini yang juga Ketua Srikandi PPBM Kuala Kedah bukan bertindak sendirian.

Beliau disertai empat orang yakni dua Ahli Jawatankuasa PPBM negeri, Halimaton Saadiah Shah Mat yang juga Ketua Srikandi PPBM Pendang, dan Rukiza Abu Bakar yang merupakan Ketua Srikandi PPBM Pokok Sena serta dua AJK Srikandi PPBM Kuala Kedah, Sopi Aziz dan Fatimah Ahmad.

Dalam sidang akhbar bersama di Alor Star, Zuraini yang mewakili kesemua pemimpin terbabit mendakwa mereka merasakan terlalu banyak isu dan polemik dalam parti itu yang tidak diuruskan dengan baik dan ditangani secara serius oleh pucuk pimpinan parti berkenaan.

"Ini bukanlah keputusan yang mudah. Sudah pasti kami akan dilabelkan sebagai pengkhianat, pemakan dedak, orang yang kecewa dan sebagainya. Tetapi prinsip kami mudah, berkata benar walaupun pahit. Berani dan bermaruah.

"Benar, PPBM baru setahun jagung tetapi kepimpinan tertinggi adalah dalam kalangan yang sangat berpengalaman dan berilmu, dan usia PPBM sebagai parti di peringkat penajaan tidak boleh dijadikan alasan," katanya.

Selain itu, beliau mendakwa budaya fitnah tanpa sebarang siasatan dan bela diri oleh individu terbabit dalam PPBM adalah sangat merbahaya dan terdapat ramai individu yang diketepikan atau ditukar jawatan hanya kerana kononnya ada salah laku, namun tidak berpeluang membela diri.

Zuraini turut mendakwa wujud budaya tidak boleh menegur dan memberi pandangan apabila terdapat individu dipecat oleh kepimpinan bahagian dengan alasan rombakan bukannya bermaksud dipecat setelah memberi teguran melalui saluran betul.

"Rombakan jawatan menyebabkan dua individu dilantik itu atau mempunyai kedudukan dan kuasa yang sama. Ia sesuatu tidak sepatutnya berlaku dan memecah-belahkan keharmonian di peringkat bahagian. Belum pernah ada bahagian wujud lantikan dua ketua Srikandi dan kedua-duanya masuk mesyuarat," katanya.- 3/11/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 410  tetamu dalam talian