14Disember2018

Hanya pengecut meninggalkan medan perjuangan - Suraya

Pemimpin pengecut sahaja yang akan berpaling meninggalkan medan perjuangan, kata ADUN UMNO Sungai Tiang, Kedah Datuk Suraya Yaacob

Lebih-lebih lagi ketika mana parti yang dinaungi sedang menghadapi musibah serta memerlukan kekuatan untuk bangkit semula bagi memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan negara, jelas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu.

Amat mendukacitakan apabila melihat seorang tokoh yang diangkat UMNO, tiba-tiba meninggalkan perjuangan anak bangsa, seolah-olah mencemarkan ‘track record’ yang baik di penghujung usia karier politik serta tergamak mengkhianati para pengundi yang menaruh harapan tinggi padanya, tambah Suraya lagi.

“Kesal bukan kepalang dengan tindakan Guar Chempedak, namun Sungai Tiang dan Bandar Baharu tidak akan sesekali lari daripada perjuangan. Biar sesukar manapun, di atas prinsip kepartian, kami berdiri teguh setia kepada UMNO bersama amanah rakyat yang digalas.

“UMNO pasti bangkit. Perjuangan parti keramat bangsa ini akan tetap kami teruskan walau terpaksa menongkah arus deras yang membadai.

“Kami tetap setia bersama UMNO yang kini semakin gagah membelah arus, demi Islam, Melayu dan Tanah Melayu! UMNO itu sebuah perjuangan,” tegasnya dalam satu kenyataan mengulas mengenai keputusan ADUN Guar Chempedak Datuk Sr Ku Abdul Rahman Ku Ismail meninggalkan UMNO baru-baru ini,

Untuk rekod, wakil UMNO di dalam DUN Kedah kini hanya tinggal dua orang sahaja dan kedua-duanya wanita, iaitu Suraya dan juga Datuk Norsabrina Mohd Noor, ADUN Bandar Baharu.

Sehubungan itu, Suraya senada dengan kenyataan Ketua Pembangkang Kedah Sanusi Mohamad Nor yang menyifatkan bekas Exco Kerajaan Negeri Kedah itu sebagai pengecut, yang seolah-olah mencari jalan keluar dari medan perjuangan.

“Beliau memberi alasan ‘berhijrah’ di atas nama Islam, kononnya tidak senang dengan beberapa imej pemimpin yang mencemarkan nama baik UMNO, (itu) hanyalah satu alasan lemah untuk meninggalkan UMNO dan bersekongkol dengan parti chauvinis ultra kiasu serta pihak yang mengkhianati perjuangan parti.

“Sejarahnya, bukan hanya sekarang pemimpin UMNO telah dituduh dengan pelbagai tohmahan dan pembohongan, malah sejak dari zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman lagi pemimpin UMNO dan BN (Barisan Nasional) telahpun dituduh dengan bermacam-macam tuduhan negatif,” tegasnya.

Suraya yang juga Ketua UMNO Bahagian Pendang turut menimbulkan persoalan mengapa Ku Abdul Rahman tidak meletak jawatan ketika UMNO berkuasa sebelum ini.

“Mengapa pula memilih meninggalkan UMNO hanya setelah parti ini tewas dan berstatus pembangkang?

“Ketika Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dituduh dengan pelbagai tohmahan, mengapa tidak dilepaskan saja jawatan Exco Kerajaan Negeri?,” soalnya.-15/11/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 714  tetamu dalam talian