21Jun2018

Bubar beberapa agensi... hukuman untuk rakyat - UMNO

Parti Melayu terbesar di Malaysia UMNO menyifatkan keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) membubarkan beberapa agensi lebih berupa satu bentuk 'hukuman' kepada rakyat.

Unit Komunikasi Strategik parti itu dalam satu kenyataan berkata dakwaan kononnya agensi terbabit digunakan sebagai alat politik adalah tidak benar sama sekali kerana ia adalah agensi pemudah urus kerajaan bagi memastikan pentadbiran setiap ceruk negara dipantau.

"Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) misalnya ditubuhkan khas bagi memantau sistem pengangkutan awam darat dan tidak timbul sebarang pertindihan dengan fungsi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," kata kenyataan itu.

Untuk rekod 90 peratus pekerja agensi-agensi yang dibubarkan itu merupakan orang Melayu Islam dan UMNO merupakan parti utama orang Melayu selepas menang 54 kerusi Parlimen di kawasan-kawasan luar bandar ketika PRU lalu.

Menurut kenyataan tersebut, mungkin ada kebenaran bahawa kerajaan dapat menjimatkan kira-kira RM500 juta setahun dengan pemberhentian semua petugas agensi terbabit tetapi pada waktu yang sama merancang pembubaran tol yang menurut Moody's akan membabitkan pampasan yang terlalu tinggi.

"Kita kesal kerana di saat pekerja di agensi-agensi terbabit akan menyambut Aidilfitri, mereka 'dihadiahkan' dengan keputusan yang sama sekali menutup periuk nasi mereka.

"Kami merasakan adalah wajar pekerja terbabit diserapkan ke jabatan dan agensi lain kerajaan, dan tidak sekadar membiarkan mereka hilang sumber pendapatan dalam sekelip mata," katanya.

Semalam Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet pertama kerajaan baharu mengumumkan beberapa agensi dibubarkan iaitu SPAD, Majlis Profesor Negara (MPN), Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP).-24/5/2018 *gambarfail

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 989  tetamu dalam talian