25September2017

BN perlu proaktif dan berani tangkis fitnah - Annuar

Jentera Barisan Nasional (BN) termasuk UMNO perlu mengatasi sindrom 'memandang rendah kemampuan sendiri' dalam usaha menangkis fitnah yang dilempar pihak pembangkang terutamanya di media sosial.
 
Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata jentera parti mesti mempunyai keyakinan dan keberanian dalam usaha menepis dakwaan dan sentimen kebencian yang ditanam pihak pembangkang melalui gerakan kempen mereka.
 
"Kita mesti atasi masalah psikologi iaitu jangan bergerak ke hadapan tanpa mempunyai 'mentaliti kemenangan' sedangkan kita mempunyai kelebihan dalam banyak perkara," katanya sewaktu menjadi salah seorang panel pada sesi 'townhall', Dialog Perjuangan4all di Kuala Lumpur Ahad malam.
 
Turut menjadi panel Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri yang juga Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Rosni Zahari dan Exco Pemuda UMNO, Shahril Suffian Hamdan.
 
Annuar berkata pendekatan seperti sesi dialog secara terus bersama masyarakat membuktikan ketegasan BN yang tidak gentar menepis fitnah dan menegakkan kebenaran.
 
Sesi 'townhall' yang julung kali diadakan itu merupakan pendekatan baharu untuk memberi penjelasan kepada masyarakat umum dan akar umbi mengenai kejayaan dasar transformasi Perdana Menteri dan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak dan dasar pentadbiran kerajaan BN.
 
Dialog di Parlimen Wangsa Maju itu dihadiri kira-kira 500 peserta terdiri daripada pemimpin masyarakat, pemimpin pelajar, pemimpin NGO setempat dan aktivis belia.
 
Sementara itu, kata Annuar siri jelajah Dialog Perjuangan4all akan diperluaskan ke seluruh negara bermula dengan 10 lokasi terawal antaranya Sepang dan Sungai Besar.
 
Sesi dialog berkenaan dijangka akan dilaksanakan pada setiap minggu dengan sasaran 80 hingga 100 siri dialog.
 
Pada sesi dialog malam ini, Annuar juga menegaskan aspirasi golongan wanita dan generasi muda amat penting kerana golongan itu mewakili lebih 50 peratus jumlah pengundi.
 
Antara aspirasi yang disuarakan pada sesi dialog itu adalah seruan agar kerajaan terus berusaha merubah persepsi negatif yang dilemparkan, menukar minda belia agar menjadi generasi yang boleh berdikari dan tidak terlalu bergantung harap kepada kerajaan.- 11/9/2017

loading...
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 508  tetamu dalam talian