22September2018

Bekas pemimpin Melayu DAP rayu rakyat tolak parti itu PRU14

KEMASKINI Bekas pemimpin Melayu dalam DAP, Mohd Razali Abd Rahman merayu kepada rakyat Pulau Pinang, Selangor dan negeri yang ada calon DAP agar menolak parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) akan datang.

Menurutnya, rakyat di negeri berkenaan harus berfikiran terbuka untuk menilai semula apa yang kerajaan dan wakil rakyat DAP lakukan kepada mereka sepanjang mentadbir Pulau Pinang serta kawasan dimenanginya.

“Saya harap pada PRU 14 ini rakyat membuat keputusan yang tepat. Jangan lagi memberi undi dan kemenangan kepada calon DAP, sebaliknya balaslah budi dan jasa kerajaan Pusat yang banyak menyalurkan bantuan walaupun di negeri yang diperintah oleh pembangkang.

“Saya memberi contoh, ketika Pulau Pinang dilanda banjir baru-baru ini, apa kerajaan DAP buat untuk selamatkan mangsa banjir, kalau tidak merayu minta bantuan kerajaan Pusat?

“Selepas itu, Ketua Menterinya, Lim Guan Eng memberitahu rakyat negeri itu, kerajaan Pusat hanya menghulurkan sedikit sahaja bantuan, selebihnya adalah dari kerajaan negeri,” katanya pada Diskusi UMNO-Online: Anda Tanya Kami Jawab – Membongkar Wajah Sebenar DAP di Auditorium UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Rabu.

Menurut Mohd Razali, beliau bertindak meninggalkan DAP kerana menyedari pemimpin parti itu retorik dan tidak ikhlas dalam perjuangannya terutama kepada orang Melayu.

Ketika ditanya Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa berhubung kedudukannya dalam parti, katanya, sejak keluar dari DAP, beliau belum membuat sebarang keputusan untuk menyertai mana-mana parti dan lebih selesa berada di pihak bebas.

Beliau turut mendedahkan tujuan DAP melantik Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution sebagai Penasihat Strategik Guan Eng dan pemimpin Pemuda PKR, Wan Ji sebagai Pegawai Penerangan kepada Ketua Menteri itu hanya bersifat umpan untuk pancing undi orang Melayu.

Pada masa sama, katanya, pelantikan itu juga mempunyai petanda tidak baik kepada PKR sebenarnya apabila kedua-dua pemimpin parti itu lebih menumpukan strategi untuk memenangkan DAP daripada parti sendiri.

“DAP memang suka orang macam Saifudin dan Wan Ji. DAP juga berminat kepada Ahli Parlimen Sepang dari Parti Amanah Negara (PAN), Mohamed Hanipa Maidin sehingga DAP sanggup menolak kepercayaannya kepada pemimpin sendiri iaitu Ahli Parlimen Kepong, Dr. Tan Seng Giaw,” katanya.

Sementara itu, setelah 15 tahun, berada bersama DAP, Razali menjelaskan mengapa beliau membuat keputusan keluar daripada parti yang menggunakan pendekatan C&C yang sering diamalkan di negara komunis.

"Kes yang berlaku pada bulan Mei tahu 2011 telah membuka mata saya. Ketika itu, mereka mengadakan perjumpaan di sebuah hotel di Pulau Pinang, ada suara-suara di dalam perjumpaan itu berkata ingin menjadikan Malaysia sebagai negara bukan Islam.

"Ketika itu, mereka ingin meraikan kejayaan mereka meraih kemenangan 12 kerusi di Pilihan Raya Negeri Sarawak. Mereka ingin raikan calon yang bertanding. Sejak itu saya mula nampak,bila dah berlaku depan mata baru kita boleh tahu," katanya yang kini tidak menjadi ahli di mana-mana parti.

Pada suatu ketika dulu, tahun 2013, Guan Eng pernah digelar sebagai Khalifah Umar Abdul Aziz semata-mata ingin meraih sokongan pengikut PAS.

"Tetapi bila PAS keluar DAP, mereka sedar yang sokongan Melayu terhadap mereka semakin hilang dan Parti Amanah Negara (PAN) diwujudkan. DAP  harapkan PAN boleh tarik sokongan orang Melayu, sebab itu  jawatan di dalam PAN sama seperti DAP.

"Ketika saya bersama mereka, PAS sudah bergabung dengan PAS dan ketika itu Mat Sabu merupakan ahli lembaga Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBA)," katanya.

Tambahnya lagi, DAP hanya mempunyai matlamat untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Barisan Nasional (BN).

"Setelah berpuluh tahun bermusuh, kini DAP boleh berpeluk dengan Tun Dr Mahathir Mohamed. Lim Kit Siang boleh kawal Tun Mahathir. Siapa guna siapa? DAP yang gunakan Tun Mahathir untuk jatuhkan BN dan nak menang pilihan raya umum," jelasnya lagi.-30/11/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 441  tetamu dalam talian