19Ogos2018

Bekas pegawai Najib umum tanding MT UMNO

Dengan komitmen untuk mengukuhkan UMNO yang bukan lagi kerajaan Pusat di Malaysia, bekas pegawai khas PM umum tanding jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO dalam pemilihan hujung bulan ini.

Isham Jalil menawarkan pengalaman hampir 20 tahun dalam kerajaan, korporat, politik dan NGO kepada rakan-rakan seperjuangan.

“Jika berikan sokongan kepada saya, dan dengan sokongan ini saya menang maka kita sama-sama boleh membuktikan bahawa sesiapa sahaja yang mempunyai idea baik dan semangat juang boleh maju dalam hirarki parti.

“Ini petanda UMNO masih boleh diselamatkan dan boleh kembali pada perjuangan asal ketika penubuhan parti 72 tahun dahulu dengan hanya berbekalkan idea bernas dan semangat juang yang jitu,” katanya dalam kenyataan Jumaat.

Isham berkata UMNO perlu menjadi pembangkang yang kuat dan berani memperjuangkan hak bangsa di “saat orang lain memperjuangkan hak mereka dan mempertikaikan hak kita”.

Namun UMNO tidak mungkin boleh mengalahkan Pakatan Harapan dengan wang ringgit.

“Untuk mengukuhkan UMNO kita perlu dua perkara penting. Pertamanya, idea dan hujah yang bernas dalam membawa isu permasalahan rakyat. Kedua, semangat juang yang kental.

“Jika kita bergantung kepada sumber kewangan untuk menang maka kita tidak akan berjaya menewaskan mereka kini. Jika wang menguasai parti, maka parti kita akan menjadi korup dan lemah, serta tidak bertahan lama,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah menawarkan diri bertanding sekali lagi dan mempertahankan jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO dalam pemilihan parti kali ini.

Menurutnya, beliau mengambil keputusan itu selepas melihat keadaan politik negara sekarang di mana pemikiran dan citarasa rakyat mengubah landskap politik negara.

Justeru, beliau mahu menyumbang tenaga membantu UMNO menyesuaikan diri dengan perubahan dalam negara sekali gus membantu parti itu untuk terus bangkit selepas ini.

“Untuk bangkit, UMNO mestilah menyesuaikan diri dengan perubahan. Paling utama, kepimpinan dan ahli UMNO di semua peringkat mestilah bersatu.

“Umno mesti berubah baik dari segi imej serta semangat demi agama, bangsa dan negara. Malah, UMNO juga perku menjadi parti membela kepentingan orang Melayu, Bumiputera dan rakyat.

“Saya melihat semua perkara ini dengan penuh tanggungjawab. Justeru, saya menawarkan diri sekali lagi bertanding dan mempertahankan jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO,” katanya.-9/6/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 485  tetamu dalam talian