Kha02232012

Kemaskini terakhir09:45:03 AM GMT

Back Berita Utama Politik ANWAR tuduh kerajaan guna samseng dan UMNO ada hubungan komunis...

ANWAR tuduh kerajaan guna samseng dan UMNO ada hubungan komunis...

  • PDF

anwar-ceramahxxKetua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuduh kerajaan sengaja menimbulkan suasana takut, menggunakan ugutan ISA serta samseng untuk menakutkan orang ramai.

Pada sidang akhbar di parlimen, Rabu, Anwar berkata tangkapan-tangkapan yang telah dibuat setakat ini, termasuk menahan orang yang memakai baju kuning adalah tindakan yang dirancang atau satu permulaan kepada tangkapan yang lebih besar yang disasarkan kepada pemimpin masyarakat dan pembangkang.

“Dulu mereka menggunakan media, sekarang mereka gunakan tangkapan seperti ugutan, termasuk yang memakai t-shirt kuning,” katanya.

Anwar turut mendakwa bahawa tindakan polis yang dibuat atas arahan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein untuk menangkap golongan yang memakai baju kuning sebagai langkah “fobia”, melampau dan mengetepikan proses undang-undang.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu turut menganggap tindakan polis menahan ahl-ahli PSM di Kepala Batas, Pulau Pinang, termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr D Jayakumar sebagai tindakan yang dangkal. Anwar menuduh UMNO pula ada hubungan langsung dengan komunis.

“Kita mempunyai pandangan yang tidak mendukung aliran fahaman komunis. Tetapi untuk menangkap dan menahan orang semata-mata kononnya mereka  membicarakan soal komunis, adalah cukup aneh.

“UMNO ada hubungan langsung dengan Parti Komunis China. Pemimpin UMNO bukan sahaja berjumpa pemimpin China, tapi pemimpin Parti Komunis negara China dan mengundang mereka menyampaikan ucapan kepada rakyat dan menerangkan dasar kerajaan China di bawah parti komunis,” katanya.

Anwar seterusnya mendakwa dia mendapat maklumat bahawa polis telah mendera beberapa tahanan termasuk wanita ketika mereka dalam tahanan.
 
“Saya sudah menasihatkan pemimpin pembangkang termasuk Keadilan, PAS dan DAP untuk bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Tetapi kami tidak akan mudah ditakutkan oleh pemimpin UMNO. Kami akan terus berjuang untuk kebebasan, keadilan dan bersuara menentang korupsi dan penyalahgunaan kuasa.” – 29/6/2011. OLEH NOOR HASILAH ISMAIL