17November2018

Abu Bakar 'langgar' Idris Haron... kemuka usul gesa letak jawatan

Macam-macam hal apabila dah kalah... tunding menunding jari perkara biasa.

Al kisah di Melaka,  Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Idris Haron, didesak melepaskan jawatan tersebut selain sebagai Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu.

Menariknya yang desak bukan orang lain, tapi timbalannya di Tangga Batu sendiri,  Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah.

Menurut bekas Timbalan Menteri itu,  Idris perlu bertanggungjawab atas kegagalan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) 14 lalu.

Menurut beliau, desakan dibuat dalam satu usul yang dikemukakan pada Mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian Tangga Batu, disertai 31 AJK bahagian itu, malam tadi.

Abu Bakar berkata, Idris yang mempengerusikan mesyuarat bahagian itu, menamatkan mesyuarat serta merta sejurus usul dikemukakan seorang AJK, sebelum meninggalkan mesyuarat tergesa-gesa diikuti tujuh yang lain.

Tergamam dengan tindakan Idris, Abu Bakar berkata tinggal 23 AJK dalam bilik mesyuarat terbabit lalu beliau kemudian bertindak meneruskan perbincangan selepas mesyuarat ditinggalkan pengerusinya.

"Dalam perbincangan dibuat, kami melakukan undian terhadap usul dikemukakan itu dan hasilnya 19 bersetuju mendesak Idris melepaskan semua jawatan dipegang manakala dua membantah dan dua berkecuali.

"AJK bersepakat mahu beliau bertanggungjawab terhadap kekalahan pada PRU lalu, malah kita kehilangan banyak tempat parlimen dan dewan undangan negeri (DUN)," kata Abu Bakar, yang mengendalikan sidang media, di Pejabat UMNO Bahagian Tangga Batu, Klebang,lewat malam tadi.

Begitupun, Abu Bakar berkata, persetujuan dicapai terhadap usul terbabit belum boleh diputuskan sehingga mesyuarat akan datang yang dipengerusikan sendiri oleh Idris.

Mesyuarat "panas" itu menimbulkan rasa tidak puas hati kebanyakan AJK bahagian yang rata-rata menganggap Idris tidak "sporting" dengan menamat serta meninggalkan serta merta mesyuarat sejurus usul terbabit dikemuka AJK.

Sebelum ini, Idris mengumumkan untuk mempertahan jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO serta ketua bahagian pada pemilihan parti itu, hujung bulan ini.

Kedudukannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu bakal dicabar jawatankuasa bahagian itu, Datuk Seri Ali Muhammad.

Kegagalan BN diketuai UMNO pada PRU-14 lalu menyaksikan, Idris gagal mengekalkan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Melaka yang dijawat sejak 7 Mei 2013.

Di Tangga Batu, calon PKR Dr Rusnah Aluai menang dengan majoriti 4,659 undi menewaskan calon BN Zali Mat Yasin juga ketua Pemuda Umno Melaka dan calon PAS Zulkifli Ismail.

Dalam kawasan Parlimen yang sama, Idris yang juga bekas ketua menteri Melaka, mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang dengan majoriti 2,229 undi, manakala Abu Bakar yang sebelum itu ahli Parlimen Tangga Batu tewas di kerusi DUN Paya Rumput.

Pada pilihan raya umum itu juga BN hanya mampu memenangi 13 kerusi DUN berbanding Pakatan Harapan memenangi 15 kerusi DUN yang kemudiannya berjaya membentuk kerajaan negeri Melaka.-21/6/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 482  tetamu dalam talian