20September2018

612 calon bertanding dalam UMNO Pusat...

Hebat, meriah dan demokratik... itulah ceritanya jika melihat pada angka-angka yang menawar diri untuk jawatan-jawatan UMNO di peringkat pusat termasuk sayap-sayap.

Bayangkan untuk Ahli Majlis Tertinggi UMNO sahaja bilangan calon yang mendaftar adalah 121 orang.

Manakala untuk Exco Pemuda UMNO paling meriah dengan calon yang mendaftar seramai 207.

Tapi itu bukan senarai akhir, kerana selepas calon mendaftar ada proses tapisan Ibu Pejabat UMNO bagi memastikan tiada calon muflis bertanding atau yang tidak lengkap syarat seperti yang dituntut perlembagaan UMNO mahupun Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Pemilihan UMNO 30 Jun ini turut menarik minat ahli akademik berikutan proses pemilihan yang terbuka.

Penganalisis politik, Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, perkembangan terkini yang menyaksikan 612 calon menawarkan diri bertanding merupakan sesuatu yang baik kepada UMNO kerana ia menunjukkan masih ada pemimpin yang yakin bahawa parti ini boleh dipulihkan.

“Ia bagus kerana memberikan ruang yang luas kepada ahli akar umbi UMNO untuk membuat pilihan siapa yang mereka mahu untuk memimpin dan apa hala tuju selepas ini.

“Cuma harapan saya ialah UMNO negeri tidak akan cuba memaksakan kehendak mereka kepada ahli dan memberikan kebebasan penuh siapa mereka mahu pilih,” katanya dipetik Utusan Malaysia.

Antara yang paling menarik perhatian ialah pertembungan tiga generasi merebut jawatan Presiden UMNO apabila Naib Presiden yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengesahkan akan bertanding bersama empat lagi calon.

Mengulas perkara tersebut, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, ketiga-tiga calon mempunyai kekuatan dan kelemahan yang tersendiri.

Namun begitu menurut beliau, calon yang mampu membawa agenda perubahan untuk memulihkan UMNO mempunyai kelebihan dalam pemilihan kali ini.

“Ketika ini Tengku Razaleigh masih belum mempunyai visi yang jelas, manakala Ahmad Zahid pula terpalit dengan imej kepemimpinan lama, hanya Khairy dilihat membawa suara perubahan dengan agenda penjenamaan semula parti melalui proses peremajaan,” katanya.

Berkongsi pendapat serupa, Ketua Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Russli Kamarudin pula melihat Khairy sebagai calon yang boleh memberi saingan kepada pemimpin muda Pakatan Harapan (PH) seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli.

“Dari segi akademik juga Khairy lebih terkehadapan berbanding calon lain dengan kelulusan Sains Politik dari Universiti Oxford, manakala pemikiran beliau berpijak di bumi nyata dan gaya berpolitiknya matang tanpa ucapan yang memaki dan menghina lawan,” ujarnya.-19/6/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 545  tetamu dalam talian