15Oktober2018

16 bekas anggota UMNO merayu untuk cabar kesahihan parti

Seramai 16 bekas anggota UMNO telah merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak permohonan mereka untuk mencabar kesahihan parti itu kerana tidak mengadakan pemilihan dalam tempoh ditetapkan.

Peguam Irzan Iswat Mohd Nor yang mewakili 16 individu terbabit berkata pihaknya sudah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan pada 27 April lalu.

"Bagaimanapun, tarikh pendengaran rayuan berkenaan masih belum ditetapkan oleh mahkamah," katanya kepada pemberita selepas bertemu Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nordin Hassan di dalam kamarnya hari ini.

Individu terbabit ialah Salihudin Ahmad Khalid, Noorhalimi Yahya, Mariam Mohd Ishak, Mohd Hafami Hanif, Saharudin Tukiman, Azaid Jani, Normalawati Hassan, Radiana Abd Manaf, Mohd Rafeek Rahim, Nurul Hanna Mohd Suhot, Kamarul Abd Wahid, Mohd Hikamal Md Hassim, Muzamzamir Abd Wahab, Norizam Jamaludin, Rohani Ahmad dan Muhamad Hafizi Hashim yang kesemuanya bekas anggota UMNO dari enam negeri iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Johor, Pulau Pinang dan Selangor.

Irzan Iswat berkata sepatutnya hari ini ditetapkan untuk mendengar permohonan ex-parte kesemua individu berkenaan bagi mendapatkan kebenaran berhubung perintah komital (menghina mahkamah) terhadap Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, namun ditangguh berikutan perubahan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Disebabkan perubahan kerajaan selepas PRU14, kami akan mendapatkan arahan lanjut daripada anak guam sama ada meneruskan dengan permohonan komital ini atau sebaliknya," katanya yang turut memaklumkan bahawa 7 Jun ditetapkan bagi pengurusan kes berkenaan.

Permohonan untuk kebenaran perintah komital itu difailkan 16 bekas anggota UMNO tersebut atas alasan Tengku Adnan mengeluarkan kenyataan media yang disiarkan dalam portal berita Mstar pada 21 April lalu, yang didakwa bersifat percubaan untuk menggagalkan permohonan kesemua individu tersebut bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman dengan menyatakan kononnya keanggotaan mereka ditamatkan.

Dalam permohonan itu, kesemua 16 individu berkenaan mendakwa bahawa kandungan dalam kenyataan media tersebut adalah penghinaan sedangkan mahkamah pada ketika itu belum membuat keputusan, malah perbicaraan belum bermula.

Pada 27 April lalu, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan 16 pemohon terbabit untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar kesahihan parti itu yang didakwa bertentangan dengan Perlembagaan UMNO selepas gagal mengadakan pemilihan di peringkat Cawangan, Bahagian dan Ahli Majlis Tertinggi selama hampir lima tahun.

Hakim Datuk Wira Kamaludin Md Said membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal Jabatan Peguam Negara, yang mewakili Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia selaku responden pertama manakala Datuk Ab Rauf Yusoh dinamakan responden kedua dalam kapasitinya sebagai penjawat awam UMNO.

Hakim itu dalam penghakimannya memutuskan bahawa mahkamah tiada bidang kuasa untuk mendengar perkara membabitkan pertelingkahan antara anggota dalam parti politik dan berdasarkan Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966, keputusan parti politik atau perkara membabitkan hal ehwal perjalanan parti adalah muktamad dan tidak boleh dicabar, dirayu, disemak, dibatalkan atau dipertikaikan di mana-mana mahkamah.-17/5/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 341  tetamu dalam talian