12Disember2018

PKR tak sabar-sabar nak pilihanraya...

Inilah PKR... tak sempat-sempat, di sebalik hakikat bahawa Allahyarham ADUN Pengkalan Kubur Datuk Noor Zahidi Omar masih belum dikebumikan, mereka sudah lancar 'perang psikologi' konon yakin ambik alih DUN itu.

Mungkin mereka ada rancangan nak lancar kempen 'Dari Pengkalan Kubur ke Putrajaya' kot...

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dalam sidang media selepas merasmikan Kongres AMK PKR di Shah Alam pada Jumaat memberitahu pihaknya sudah mengadakan perbincangan ringkas dengan PAS berhubung perkara itu.

Menurut Azmin, beliau bertemu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam dan memaklumkan perbincangan lanjut akan diadakan dalam masa terdekat.

"Sekarang kita bersiap sedia untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor.

"Saya menghubungi pengerusi PKR Kelantan untuk melihat prestasi kita dalam dua pilihan raya lepas," katanya.

Keyakinan Azmin bagaimanapun, hanya kerana dua DUN dalam kerusi Parlimen Tumpat itu dimenangi PAS.
"Kita boleh ambil semula kerusi Pengkalan Kubor," katanya.

Kerusi berkenaan ditandingi PKR dalam Pilihan Raya Umum 2008 dan 2013.

Azmin bagaimanapun berkata, parti itu masih belum memutuskan calon mereka.

Sementara itu, dalam ucapan dasarnya, Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Mat Akin meminta PKR mempertimbangkan calon daripada sayap parti itu bertanding di PRK tersebut.

"Kita minta calon Pemuda PKR untuk DUN Pengkalan Kubor," kata Shamsul.

Untuk rekod, Pengkalan Kubur merupakan kubu kuat BN sejak sekian lama. Allahyarham Noor Zahidi bertanding dan menjadi wakil rakyat di situ sejak tiga penggal lalu.

Sementara itu Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub memberitahu media semua ADUN di negeri itu  dijemput hadir menyambut ketibaan jenazah Adun Pengkalan Kubur di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

“Saya berharap wakil-wakil rakyat dapat meluangkan masa bersama hadir. Menteri Besar juga dijangka hadir sama,” katanya.

Jenazah dijangka tiba malam ini.

Allahyarham Noor Zahidi dilaporkan meninggal dunia akibat kanser hati di sebuah hospital di Guangzhou, China, pagi semalam.

Abdullah juga berkata, pihaknya sehingga kini belum menerima sijil kematian daripada keluarga arwah atau Badan Perhubungan Umno Kelantan.

“Keluarga memaklumkan mereka sekarang sibuk mengurus bagi membawa pulang jenazah Allahyarham,” katanya.

Menurutnya juga beliau akan memaklumkan mengenai kekosongan kerusi Dun Pengkalan Kubur kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selewat-lewatnya pada Ahad ini.

Mengikut peraturan SPR pilihan raya kecil perlu diadakan dalam masa 60 hari selepas berlaku kekosongan kerusi untuk memilih wakil rakyat baru.

-22/8/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 279  tetamu dalam talian