11Disember2018

KP1M kerjasama dengan hospital di Mesir

Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) sedang bekerjasama dengan beberapa hospital di Mesir untuk menempatkan sementara 100 wanita dan kanak-kanak Palestin yang cedera teruk akibat kekejaman Israel di Gaza sebelum mereka dibawa ke Malaysia untuk rawatan susulan.

Justeru, Presiden KP1M Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata pihaknya sedang berusaha menyelesaikan proses dokumentasi mangsa sebelum mereka dibawa ke negara ini secara berperingkat.

"Kebanyakan mereka cedera di perut dan anggota badan kerana terkena bedilan senjata tentera Zionis," kata kepada pemberita selepas pulang dari Kaherah setelah mengetuai Misi Bantuan Kemanusiaan KP1M ke Gaza di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang petang Sabtu.

Misi bantuan yang disertai oleh 85 orang terdiri daripada sukarelawan, doktor serta petugas media, itu berjaya mengagihkan sebanyak 40 tan bekalan makanan dan ubat-ubatan di Gaza.

Misi tersebut turut disertai oleh Duta Palestin di Malaysia, Dr Anwar Al-Agha dan Duta Besar Malaysia di Mesir dan Palestin, Datuk Ku Jaafar Ku Shaari.

Bernama melaporkan Abdul Azeez juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghantar surat kepada Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi yang banyak membantu melancarkan misi tersebut.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Mesir yang telah membantu pasukan misi kemanusiaan itu.

Beliau berkata KP1M akan terus memberi bantuan kepada rakyat Palestin pada masa depan dan pada masa yang sama menasihati mana-mana individu atau organisasi untuk berbincang terlebih dahulu dengan Ku Jaafar sekiranya mahu menghulurkan bantuan kepada rakyat Palestin.-23/8/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 367  tetamu dalam talian