18Julai2018

Harga yang Khalid bayar kerana percaya 'reformasi' Anwar

Hari ini jika Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim renung balik tujuh, lapan tahun dulu, mesti dia geleng-geleng kepala, macam mana boleh percaya dengan mulut manis Datuk Seri Anwar Ibrahim dan masuk PKR.

Abdul Khalid dulu diumumkan oleh Anwar sebagai ahli PKR ketika berada di Indonesia, Anwar masa itu sedang menghadapi krisis kecil selepas Datuk S Nalakaruppan keluar PKR.

Lebih kurang pertengahan tahun 2007.

Nak tutup krisis itu, Anwar cepat-cepat umum Khalid seorang tokoh korporat yang disegani sebagai ahli baru PKR yang dilantik menjadi bendahari agung parti.

Khalid kemudian apabila pulang ke Malaysia, ditanya wartawan mengenai pengumuman Anwar itu berkata, "Saya dijemput oleh kawan..." ulasnya dia masuk PKR kerana hendak bantu Anwar buat reformasi.

Untuk rekod, ramai lagi kawan-kawan Anwar yang percaya mulut manisnya dan masuk PKR kemudian keluar dengan hampa, antaranya intelektual terkemuka dan individu yang menulis 'Deklarasi Pematang Pauh'  Dr Chandra Muzaffar.

Ahli politik, Marina Yusuff, peguam peribadi Anwar kes liwat 1, Zainol Zakaria dan Zulkifli Nordin, bekas pegawai Anwar ketika di Kementerian Kewangan, Ezam Mohd Nor dan Annuar Shaari.

Juga ratusan dan ribuan lagi sudah meninggalkan Anwar, lama sebelum Abdul Khalid Ibrahim.

Hari ini, ketika Abdul Khalid berdiri tanpa jasa di depan Anwar dan orang-orangnya, Menteri Besar Selangor itu dipetik berkata beliau kini membayar “harga mahal” kerana menjadi seseorang yang berintegriti.

“Saya mengambil keputusan menjadi ahli politik, jadi saya kena hadapinya,”

“Inilah harga integriti,” katanya sewaktu merasmikan serta merujuk kepada kehadiran lebih 20 orang petugas media dalam majlis persidangan integriti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Shah Alam Selasa.

Sewaktu ucapannya yang dihadiri kira-kira 100 orang penjawat PKNS itu, Khalid langsung tidak merujuk kepada kes politik, tetapi menyentuh keperluan untuk memegang amanah dengan integriti.

“Saya suka memetik hadis yang dikaitkan dengan amanah – Dari Abu Hurairah R.A yang berbunyi ” Di saat amanah tidak lagi dipegang teguh, maka tunggulah saat kehancuran,” kata beliau dalam ucapannya.

Selepas berucap, Khalid terus menutup mulut ketika diekori sekumpulan besar wartawan, yang selama ini mengikuti berita Khalid sejak beliau dipecat daripada PKR dua minggu lalu.

Beliau, bagaimanapun terus mendiamkan diri dikelilingi hampir 20 orang petugas keselamatan bagi menghalang wartawan dari menghampirinya.

Khalid sebelum ini cukup terkenal dengan sifatnya yang ramah kepada pihak media tetapi kini hanya tersenyum tanpa mengeluarkan sebarang kenyataan.

Sehingga kini Khalid belum 'menyerang' Anwar. Adalah elok kita tunggu, bila Khalid nak buka mulut mengenai 'kawan yang jemput dia masuk PKR' itu....-19/8/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 494  tetamu dalam talian