13Disember2018

Elak pilihanraya semula, PAS mungkin terpaksa berkorban terima jawatan MB

Hakikatnya sekarang situasi cukup getri pada PKR dan DAP, dua-dua parti itu secara teknikalnya tiada lagi dalam kerajaan Selangor selepas exco-exco mereka dipecat Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Makin hari berlalu, makin jauh kerajaan Selangor ini dengan PKR dan DAP. Hanya PAS -disebalik tindakan gopoh beberapa pemimpinnya, terus bertahan.

Tanpa PAS di dalam exco Selangor, mesyuarat kerajaan negeri tak boleh berjalan, satu-satunya pilihan Abdul Khalid adalah membubarkan DUN.

Pilihanraya Negeri akan dipanggil SPR paling lewat selepas 60 hari dari tarikh pembubaran.

Dari cakap-cakap yang didengar, tak nampak cara calon yang diangkat oleh PKR iaitu Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan jadi MB.

Begitu juga Azmin Ali. Kedua-duanya tidak menepati kelayakan yang dikehendaki oleh Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor sebagai calon MB.

Dua-dua mereka lahir di Singapura, manakala undang-undang Selangor sejak 1958 menetapkan bukan anak Selangor tak boleh jadi MB.

Jika ding-dong sana sini pun, memang tak layak.

Manakala dikalangan pemimpin PKR, tak ada yang berwibawa untuk jadi MB.

Pilihan yang tinggal adalah PAS... mungkin parti itu terpaksa berkorban dengan mengambil keputusan untuk mencadangkan nama pemimpinnya sebagai calon MB.

Sungguhpun ia dilihat menikam sekutunya, tapi mungkin satu-satunya cara untuk mengelak kebuntuan politik di Selangor.

Menurut Setiausaha PAS Selangor, Mohd. Kharuddin Othman, PAS negeri bersedia mencalonkan nama para pemimpinnya sebagai MB sekiranya Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan parti itu berbuat demikian.

Menurutnya walaupun pihaknya akur dengan keputusan Jawatankuasa PAS Pusat pada Ahad lalu, hal itu tetap tertakluk kepada keputusan baginda sama ada mahu memberi perkenan atau sebaliknya.

Bagaimanapun, katanya, PAS Selangor akan merujuk terlebih dahulu kepada kepimpinan Pas Pusat sekiranya perkara berkenaan berbangkit.

"Jika senario itu berlaku, maka kita akan serahkan kepada PAS Pusat untuk membuat keputusan menentukan siapa pemimpin dari parti kita yang layak (menjadi Menteri Besar).

"Buat masa ini kita ikut dan akur dengan keputusan Jawatankuasa PAS Pusat untuk mencalonkan Wan Azizah dan Azmin Ali.

"Maka, terpulang kepada PAS Pusat untuk memutuskan perkara itu sekiranya baginda menitahkan sedemikian," katanya dipetik Utusan.

Jun lalu, kemelut jawatan Menteri Besar menyaksikan desas-desus PAS Selangor akan meletakkan ADUN mereka untuk menduduki jawatan itu antaranya ADUN Cempaka yang juga Pesuruhjaya Pas negeri, Iskandar Abdul Samad; ADUN Sijangkang merangkap Bendahari PAS negeri, Dr. Ahmad Yunus Hairi dan ADUN Tanjung Sepat, Mohd. Haslin Hassan.-20/8/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 658  tetamu dalam talian