18Julai2018

SPRM ambil tindakan jika Najib tidak hadir esok

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 sekiranya gagal hadir di ibu pejabat SPRM Putrajaya esok untuk membantu siasatan berhubung kes SRC International Sdn Bhd.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata notis telah diserahkan kepada Najib untuk hadir ke ibu pejabat suruhanjaya itu pada 10 pagi esok untuk dirakam keterangan.

"Sekiranya beliau tidak hadir untuk proses mengambil keterangan, beliau boleh dikenakan tindakan di bawah Akta SPRM 2009," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini tanpa mengulas lanjut bentuk tindakan yang boleh diambil.

Beliau berkata setakat ini, SPRM hanya memanggil Najib sahaja dan belum membuat keputusan memanggil mana-mana individu lain.

SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Jumaat lepas, sepasukan pegawai SPRM berkunjung ke rumah Najib di Taman Duta di sini untuk menghantar notis meminta Anggota Parlimen Pekan itu hadir ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.-21/5/2018 *gambarfail

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 624  tetamu dalam talian