19Oktober2017

SPAD benarkan kira-kira 5,000 bas ekspres beroperasi untuk musim perayaan Aidilfitri ini

Kira-kira 5,000 bas ekspres termasuk 93 bas tambahan dibenarkan beroperasi untuk musim perayaan Aidilfitri ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Mohd Azharuddin Mat Sah.
 
Katanya kesemua bas ekspres itu sudah melalui pemeriksaan terperinci sebelum dibenarkan beroperasi, termasuk rekod pemandu bas dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).
 
"Sebelum meluluskan pengoperasian bas ekspres tersebut, kami sudah mengadakan taklimat kepada pemandu-pemandu bas ekspres dan mereka memberi jaminan untuk memandu secara berhemah ketika berada di jalan raya.
 
"Ia bagi memastikan kadar kemalangan jalan raya yang melibatkan bas ekspres dikurangkan terutamanya ketika musim perayaan," katanya kepada pemberita selepas Program Agihan Pek Iftar sempena Aidilfitri di Terminal Bersepadu Selatan, hari ini.
 
Mohd Azharuddin berkata sebagai langkah proaktif, pihaknya telah memulakan penguatkuasaan secara intensif selama 21 hari bersama PDRM, JPJ, JKJR dan pihak penguat kuasa lebuh raya yang bermula 12 Jun lalu hingga 2 Julai.
 
"Antara operasi yang dilaksanakan ialah audit penguatkuasaan terhadap rekod sistem pengesan global kenderaan, operasi penyamaran, rondaan di lokasi berisiko tinggi dan perangkap kelajuan serta pemantauan kamera litar tertutup di Pusat Operasi Lebuh raya.
 
"Seramai 384 pegawai penguat kuasa SPAD turun padang menjalankan operasi itu termasuk pemeriksaan di kaunter-kaunter tiket dan dokumen di 40 terminal bas seluruh Semenanjung Malaysia," katanya.
 
Beliau berkata SPAD tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan undang-undang terhadap pengendali bas ekspres yang didapati cuai dalam pengurusan operasi.
 
"Kami akan memberi lebih penekanan terhadap syarikat-syarikat bas ekspres yang pernah mempunyai rekod gantung terutamanya dari segi sikap para pemandu dan keadaan bas ekspres.
 
"Bergantung kepada tahap keseriusan kesalahan, lesen pengendali syarikat bas boleh digantung atau dibatalkan," katanya.
 
Mohd Azharuddin berkata tindakan bersepadu sedemikian berjaya menurunkan aduan pada musim perayaan Tahun Baharu Cina yang lalu daripada 70 tahun lepas kepada 41.
 
"Pada Tahun Baharu Cina 2017 juga hanya 127 kesalahan direkodkan berbanding 248 bagi tahun 2016," katanya.- 16/6/2017
 
 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 925  tetamu dalam talian