09Disember2018

Singapura suruh Malaysia putuskan kedudukan HSR sebelum 31 Julai

Singapura meminta kerajaan Malaysia memberikan maklum balas bertulis menjelaskan kedudukannya berhubung projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) sebelum 31 Julai, lapor The Straits Times.

Memetik jurucakap Kementerian Pengangkutan, laporan berkenaan menyebut bahawa, jika Malaysia berhasrat bertemu dengan Singapura untuk membincangkan projek HSR, ia seharusnya dilakukan menjelang tarikh sama.

"Mereka masih belum memberikan Singapura penjelasan yang diminta, atau berkomunikasi mengenai tarikh cadangan mereka untuk perbincangan," jurucakap itu dipetik sebagai berkata.

Tambah jurucakap itu, kementeriannya membuat permintaan kepada Malaysia melalui saluran diplomatik.

Laporan itu menyebut, jurucakap berkenaan memberi maklum balas terhadap pertanyaan daripada media berhubung kenyataan yang dibuat Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada Khamis.

Dr Mahathir dilaporkan berkata bahawa, Malaysia akan berunding mengenai penangguhan projek HSR dengan Singapura bagi mengelakkan pembayaran pampasan di bawah rancangan awal untuk membatalkan projek berkenaan.

Beliau juga berkata, akan ada perbincangan mengenai perkara itu apabila Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, melawat Singapura sebelum hujung bulan.

Pejabat Azmin berkata, ia akan memaklumkan Singapura berkenaan tarikh cadangan untuk perbincangan, tetapi belum ada tarikh yang ditetapkan lagi untuk mesyuarat, kata laporan itu.-21/7/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 390  tetamu dalam talian