22September2014

Pusat Transformasi Bandar ( UTC) mercu tanda perkhidmatan kerajaan terbaik kepada rakyat

utc-melakaxx
Pusat Transformasi Bandar (UTC) akan menjadi satu mercu tanda perkhidmatan kerajaan yang terbaik kepada rakyat khususnya penduduk bandar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata UTC yang berkonsepkan mesra rakyat dengan menempatkan jabatan dan agensi kerajaan pusat dan negeri di bawah satu bumbung akan memberi kepuasan kepada rakyat dalam berurusan dengan pihak kerajaan.

"Konsep ini begitu berjaya dan memberi kepuasan yang tinggi kepada rakyat dan ini merupakan contoh di mana kerajaan negeri dan pusat dapat menjalin kerjasama yang begitu erat dan dapat menzahirkan satu konsep yang memberi kemudahan yang begitu baik kepada rakyat.

"Saya percaya pusat ini akan mendapat sambutan yang cukup hangat dan ia merupakan satu `landmark' (mercu tanda) bukan sahaja dari segi bangunan tetapi kemudahan dan pengisian perkhidmatan kepada rakyat yang begitu hebat sekali," katanya kepada pemberita selepas melancarkan UTC Melaka dan Jelajah Janji Ditepati di Jalan Hang Tuah di Melaka Sabtu.

Turut hadir isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Najib berkata UTC yang lahir daripada percambahan fikiran melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan bagi menempatkan jabatan dan agensi yang menjadi titik sentuhan kepada rakyat termasuk Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata UTC Melaka yang merupakan pertama seumpamanya di negara ini menempatkan 70 jabatan serta agensi kerajaan pusat dan negeri termasuk badan bukan kerajaan (NGO) selain kemudahan sosial lain seperti pusat asuhan, surau dan perpustakaan untuk kegunaan orang ramai yang dibuka pada 8.30 pagi hingga 10 malam setiap hari.

"Kemudahan urut pun ada di sini, Orang Kelainan Upaya (OKU) dilatih dan mereka mendapat pendapatan yang memuaskan sehingga mereka menjalani kehidupan dengan rasa terhormat...inilah yang kita nak, mendidik mereka dengan kemahiran, tidak lagi bergantung sedekah orang ramai tetapi mencari rezeki yang halal," katanya.

Bernama melaporkan ,katanya pembangunan UTC Melaka mencatat rekod tersendiri apabila berjaya disiapkan dalam tempoh enam minggu daripada tarikh keputusan pelaksanaannya dibuat.

Sementara itu, katanya UTC kedua akan dilaksanakan di bangunan Pudu Sentral di Kuala Lumpur dengan kerja-kerja membaik pulih bangunan tersebut sedang dijalankan.

"Selepas ini kita akan kembangkan lagi di bandar-bandar lain, saya harap dalam masa tidak lama lagi setiap negeri ada UTC," katanya.

Ditanya mengenai perlawanan suku akhir bola sepak Euro 2012 antara Sepanyol dan Perancis, Najib berkata di atas kertas, Sepanyol yang merupakan juara bertahan mempunyai harapan yang lebih baik untuk mara ke peringkat seterusnya berbanding Les Bleus.

"Tetapi peribahasa sebut `ball is round', bergantung kepada luck of the day juga sebab kadang-kadang bola melepasi garisan pun, kata tidak gol...benda-benda macam ini boleh mengakibatkan keputusan luar jangkaan," katanya.-23/6/2012

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 335  tetamu dalam talian