19Jun2018

PRU14: Pengamal media diminta tepis berita palsu

Pengamal media memainkan peranan penting untuk menepis berita-berita palsu yang beredar di media sosial terutamanya pada musim pilihan raya umum tidak lama lagi kata Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai

Berikutan itu, MCA bersedia untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pengamal media di negara ini bagi memerangi perkara tersebut.

Katanya, selama ini kerjasama MCA dengan media tempatan amat rapat dan diibaratkan 'bagai aur dengan tebing'.

"Dengan pilihan raya umum yang semakin hampir, menjangkakan kuantiti berita akan berlipat ganda. Dalam banyak-banyak berita ini, ada juga yang palsu, menjadikan orang ramai keliru. Di bawah amalan demokrasi, rakyat berhak mendapatkan berita yang tepat.

"Memastikan kesahihan berita adalah harapan besar kami, oleh itu kami menyeru supaya pihak media sentiasa merujuk kepada kami, kami sedia memberi kerjasama," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berharap agar masyarakat tidak mudah terpedaya dengan berita palsu yang disebarkan melalui media sosial kerana ia memberi kesan negatif yang meluas serta sukar untuk dikawal.

"Jangan kongsi kalau tidak pasti kerana kesan buruk berkongsi berita palsu amat besar sekali.

"Kita amat menghormati kebebasan bersuara serta hak untuk mengetahui, tetapi pada waktu yang sama kita perlu menegakkan hak rakyat yang tidak berdosa untuk menghindar dari disinggung, " katanya.

Bercakap tentang Pilihan Raya Umum akan datang, Tiong Lai berkata beberapa usaha sedang dijalankan bagi membantu kerajaan, antaranya menaiktaraf ketiga-tiga Institusi Tunku Abdul Rahman, membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan sebagainya.

"MCA juga sedang giat meningkatkan penarafan kumpulan pemikir, pembaharuan mekanisme menghadapi PRU, peperangan melalui media baru dan sebaginya, semua ini tidak pernah ada tetapi sedang dilaksanakan sekarang, " ujarnya sewaktu berucap pada majlis MCA Media Nite 2018 di Dewan San Choon, Wisma MCA, Khamis malam.

Turut hadir, Timbalannya, Datuk Seri Dr. Ir. Wee Ka Siong; Naib Presiden, Datuk Chua Tee Yong dan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Sementara itu, MCA memulangkan paku buah keras kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng apabila menyelar parti pimpinannya itu kerana gagal ‘menunaikan janji’ sebagai sebuah parti yang kononnya bersifat pelbagai kaum seperti diuar-uarkan.

Jurucakap Publisiti MCA, Datuk Seri Ti Lian Kermengulas dakwaan Guan Eng kononnya MCA telah mengingkari janji kepada kaum Cina kerana tidak bertanding di kawasan diwakili 50 peratus atau lebih pengundi kaum itu.

Lian Ker sebaliknya menegaskan, sebagai sebuah parti di bawah payung Barisan Nasional (BN), MCA tidak memilih kawasan pengundi majoriti Cina, Melayu atau sebagainya kerana berpegang kepada konsep kepelbagaian kaum di negara ini.

“Berbeza dengan kepemimpinan DAP yang mendakwa sebagai mendukung kepelbagaian kaum tetapi hakikatnya takut untuk bertanding di kawasan yang jumlah pengundi Melayu dan Cina seimbang kerana sedar mereka hanya bermain dengan sentimen politik Cina sahaja.

“Berikutan itu, DAP telah menjual prinsip mereka kepada Pas sebelum ini dan Tun Mahathir Mohamad ketika ini kerana terdesak untuk mendapatkan undi kaum Melayu,” katanya.

Lian Ker memberitahu, DAP sepatutnya berasa malu kerana gagal mengotakan janji mereka sebagai sebuah parti yang kononnya bersifat pelbagai kaum.

Malah, dalam pemilihan parti itu juga, kata Lian Ker, DAP gagal untuk memilih jawatan kuasa yang menterjemahkan kepada semangat kepelbagaian kaum di negara ini.

“Ketika BN cuba memulihkan hubungan antara kaum dengan membina ‘jambatan’ dan mempromosikan persefahaman, DAP berterusan melaga-lagakan Cina dengan Melayu,” jelas beliau.

Berikutan itu, Lian Ker mendesak DAP menghentikan politik perkauman yang bertujuan menyerlahkan perpecahan kaum semata-mata untuk kepentingan parti itu.-23/2/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 544  tetamu dalam talian