25September2018

PH kerajaan 'cakap tak serupa bikin'...

Indah khabar dari rupa... lepas 100 hari pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) rakyat boleh menilai sendiri macam mana dasar dan perlaksanaan mereka bagai 'cakap tak serupa bikin'.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata PH sibuk bercakap tentang rule of law atau keluhuran undang-undang dengan apa sahaja akan berkisar kepada rule of law namun persoalannya, apakah keluhuran undang-undang itu telah dilaksanakan dalam kes melibatkan Lim Guan Eng.

Tegas beliau, sepatutnya sebelum sesuatu kes itu dikategorikan sebagai tidak ada kes atau tidak diteruskan pendakwaan, perlulah disediakan alasan-alasan yang kukuh kenapa ia berlaku kerana dikhuatiri akan ada tanggapan bila mana sesuatu kerajaan memerintah, keluhuran undang-undang yang dilaksanakan berbeza dan bertukar.

“Dalam kes Guan Eng, beliau sudah dikenakan pendakwaan dan perbicaraannya telah pun bermula maka sepatutnya apabila sesuatu kes dibicarakan, segala proses mencari bukti harus dipersiapkan, tetapi yang menghairankan sekarang adalah Peguam Negara memutuskan pendakwaan kes tidak diteruskan.

“Bukankah itu menimbulkan rasa pelik kepada orang ramai? Belum separuh kes dibicarakan, sudah berhenti?”

Ahli Parlimen Parit Sulong itu berkata asas-asas pemberhentian kes Guan Eng juga tidak jelas walaupun kuasa ada di tangan Pendakwa Raya.

“Wanita UMNO tidak pasti sama ada kira-kira 18,000 peguam di negara ini sehaluan dalam kes Guan Eng ini?

“Sekurang-kurangnya rakyat melihat sebelum ini tiada campur tangan Peguan Negara dalam kes yang melibatkan bekas Menteri Besar Selangor, Mohamed Khir Toyo.

“Dalam kes itu, mahkamah dapat mempertimbangkan kes serta mendengar kes tersebut sehingga beliau didapati bersalah.”

Namun katanya, amat berbeza dengan kes melibatkan Guan Eng di mana bukan sahaja kes digugurkan setelah tarikh perbicaraan ditetapkan, malahan dalam kes ini tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa sebarang perbicaraan.

“Kenapa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak dirujuk sewaktu permohonan dibuat oleh Jabatan Peguam Negara untuk membebas tanpa melepaskan tertuduh?

“Keputusan mahkamah membebas dan melepaskan tertuduh sekali gus perlu dikaji kemungkinan disebabkan kegagalan Jabatan Peguam Negara menunjukkan keazaman untuk membawa tertuduh ke muka pengadilan. Tindakan Jabatan Peguam Negara ini dilihat menolak dan memperkecilkan tugas dan amanah yang telah dijalankan oleh pihak SPRM dan seolah-olah ada berlaku selective prosecution.

“Dalam hubungan ini, Jabatan Peguam Negara digesa memberi penjelasan berhubung perkara di atas kerana ini melibatkan ‘public interest’ dan kes kes seumpama yang mungkin ada di masa hadapan,” katanya.-6/9/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 489  tetamu dalam talian