16Oktober2018

PAS Selangor sokong tubuh Pakatan Malaysia

PAS Selangor menyokong cadangan untuk menggabungkan parti pembangkang bagi membentuk Pakatan Malaysia, kata Pesuruhjaya PAS negeri, Sallehen Mukhyi.

Beliau bagaimanapun berkata, perkara itu perlu diperhalusi secara terperinci oleh semua pihak, termasuk meminta parti bukan Islam menghormati dasar perjuangan PAS.

“PAS Selangor rasa tiada masalah (membentuk Pakatan Malaysia). Namun penubuhannya memerlukan lebih banyak penjelasan. Kita ingin tahu di mana letaknya Islam jika gabungan baharu ini hendak dibentuk.

“Dalam pada itu kita juga berharap parti bukan Islam dapat menerima dasar perjuangan Islam yang dibawa PAS. Jika semua parti bukan Islam dapat terima perjuangan PAS, kita berpendapat pakatan baharu ini boleh direalisasikan.

“Dalam sebuah gabungan, adalah penting untuk kita semua saling memahami serta menghormati hak setiap orang. Jika asas ini menjadi pegangan, kita yakin gabungan ini akan menjadi kuat,” katanya.

Ditanya kemungkinan gabungan pembangkang akan berpecah seperti yang berlaku kepada Pakatan Rakyat dahulu apabila DAP lantang membantah isu Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355 berkaitan hudud, Sallehen berkata, atas sebab itu semua pihak berkaitan perlu duduk berbincang untuk menilai cadangan membentuk Pakatan Malaysia.

“Saya ingin tegaskan Islam yang dibawa PAS selama ini tidak pernah menganiayai mana-mana kaum atau agama. Perkara ini adalah jelas dan saya yakin MCA atau parti bukan Islam lain faham mengenai isu ini. Undang-Undang Islam adalah untuk Islam sahaja.

“PAS melihat sokongan parti ini kepada calon MCA pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong adalah permulaan untuk hubungan yang lebih erat. Selama ini imej PAS dieksploitasi oleh pihak tertentu kononnya PAS ini sebuah parti ekstrem sedangkan dakwaan itu tidak benar,” katanya.

Sebelum ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata gabungan baharu membabitkan parti itu, PAS, MCA, MIC, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Bersatu Sabah akan diwujudkan bagi membentuk Pakatan Malaysia.

Beliau berkata, perkara itu tidak mustahil akan berlaku dengan berbekalkan formula yang betul dan utuh, mampu membentuk satu gabungan politik yang berupaya memberi tentangan hebat kepada Pakatan Harapan.

Mohamaed Khalid yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata, UMNO masih parti terbesar di Parlimen dan mendapat kepercayaan sebahagian besar orang Melayu serta jauh lebih dominan, kuat dan berpengaruh berbanding Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).-19/9/2018 - BH

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 430  tetamu dalam talian