14Disember2018

Parlimen kecoh, Menteri, Timbalan KDN tidak hadir jawab soalan

Ketiadaan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat memang semua faham kerana beliau tidak berapa sihat dan jika beliau ada program, timbalannya boleh menjawab soalan di Parlimen.
 
Namun apabila timbalannya, Datuk Mohd Azis Jamman juga tidak berada di dalam Dewan Rakyat pada sesi soalan lisan pada Khamis ia telah mencetuskan kekecohan di Parlimen.
 
Walaupun kementerian itu telah mewakilkan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin untuk membacakan jawapan bagi soalan asal, isu mula timbul apabila soalan tambahan diajukan.
 
Ketika menjawab soalan tambahan daripada ahli Parlimen Saratok, Ali anak Biju, Mohd Radzi memberitahu jawapan bertulis akan diberikan.
 
Kemudiannya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula bangkit untuk bertanyakan soalan tambahan berhubung usaha untuk menjaga kebajikan pegawai-pegawai dan anggota polis melalui penaikan taraf ibu pejabat polis daerah dan juga balai-balai polis di negara.
 
Namun begitu jawapan yang diberikan juga mengecewakan.
 
“Memandangkan soalan asal ditujukan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), saya rasa lebih baik KDN menjawab soalan berkaitan,” jawab Mohd Radzi.
 
Susulan itu ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Ir Wee Ka Siong telah membangkitkan Peraturan Mesyuarat 21(1A).
 
“Saya minta Yang Dipertua buat satu ruling sekiranya inilah contoh yang diambil, esok mana-mana menteri yang jaga portfolio A, dia akan meminta timbalan menteri dari portfolio B untuk menjawab. Apakah ini menghormati ahli Parlimen?
 
“Dua-dua jawapan yang kita dapat itu, akan diberikan secara bertulis dan tidak ada kena-mengena dengan kementerian saya. Jadi kalau macam itu, kita buang masa dalam Parlimen.
 
“Kita tahu kita nak buat pembaharuan dalam Dewan Rakyat ini. Tapi ini bukan satu contoh yang baik. Tidak sepatutnya dijadikan sebagai teladan. Saya tahu menteri dalam negeri perlu berehat, itu tiada masalah. Tapi mesti ada timbalan..kalau timbalan tidak boleh datang soalan jangan naik.
 
“Kita merasa dukacita, tidak sepatutnya berlaku. Buat satu ruling supaya kerajaan mengambil serius tentang apa yang ditanya oleh kita dalam dewan ini,” katanya.
 
Peraturan Mesyuarat 21(1A) menyatakan pertanyaan-pertanyaan bolehlah diarahkan kepada menteri berkenaan dengan hal-hal yang dalam urusan jawatan mereka.
 
Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin juga membangkitkan rasa tidak puashati dengan ketiadaan menteri dan timbalan yang menjawab soalan.
 
Beliau turut mengaitkan perkara itu dengan penilaian Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang memberi markah 40 dan 50 peratus terhadap prestasi anggota Kabinet.
 
Semakan BNP Portal mendapati Muhyiddin dan Azis menghadiri satu majlis rasmi pagi ini berkaitan surut kelulusan kewarganegaraan.  – 25/10/2018 Oleh AIDIL SYUKRI
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 330  tetamu dalam talian