17November2018

Najib cabar Guan Eng lapor polis kehilangan RM19 bilion

Apa macam... ada berani ke...?  Datuk Seri Najib Tun Razak mencabar Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membuat laporan polis berhubung dakwaan RM19 bilion wang bayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) ‘dirompak’ Barisan Nasional (BN).

Najib berkata, di sebalik tuduhan dibuat di Parlimen yang mana Pakatan Harapan mempunyai kekebalan atau imuniti, Guan Eng sepatutnya secara peribadi membuat laporan polis dengan menyatakan secara jelas BN telah merompak dana cukai input GST sebanyak RM19 bilion.

“Berikutan cara pengurusan ekonomi yang tersasar kerajaan baharu ini, mereka kini menuding jari ke arah kerajaan BN.

“Ini adalah sebab sebenar mengapa banyak janji manifesto Pakatan Harapan kekal tidak ditunaikan dan mengapa program bantuan kepada golongan memerlukan akan dipotong manakala kenaikan gaji kakitangan awam dibekukan, dan bukanlah kerana tuduhan ciptaan mereka kononnya hutang negara adalah RM1 trilion atau BN ‘merompak RM19 bilion daripada dana tuntutan GST’,” katanya.

Minggu lepas, Lim mengejutkan Dewan Rakyat dengan berkata BN “merompak” wang bayaran balik GST dan akibat itu wujudnya kurangan sebanyak RM19 bilion wang yang tidak dibayar balik kepada peniaga sejak 2015.

Setakat ini, Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin membuat laporan polis berhubung dakwaan itu dan mahu kes tersebut dibawa ke mahkamah sekiranya benar berlaku “rompakan” seperti dakwaan Lim.

Sistem cukai 6% GST mula disifarkan pada 1 Jun lepas dan kerajaan PH akan memperkenalkan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bermula 1 September depan.

Najib berkata, kerajaan juga perlu membayar balik cukai input sebanyak RM8 bilion kepada peniaga bagi GST yang dibayar ke atas pembelian dan perbelanjaan (termasuk import barangan) untuk bulan April dan Mei.

“Kesemua itu melibatkan kurangan sebanyak RM31 bilion bagi tahun ini.”

Beliau berkata, kurangan pendapatan daripada GST itu akan menyebabkan kerajaan memotong bantuan kepada golongan miskin dan tidak menaikkan gaji penjawat awam.

Najib berkata, kerajaan PH lebih berminat menyalahkan BN atas kegagalan melaksanakan janji manifesto pilihan raya mereka dan berlindung di sebalik kekebalan diberikan oleh Parlimen dalam mendakwa BN “merompak” RM19 bilion wang bayaran balik GST.

Beliau juga mengingatkan orang ramai tentang kemungkinan cukai baru diperkenalkan oleh kerajaan PH bagi menampung kurangan hasil akibat pemansuhan GST.-17/8/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 979  tetamu dalam talian