19November2017

Mufti Perak kecam penyelewengan zakat di Pulau Pinang

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menegaskan beliau tidak akan berkompromi dengan orang ramai, orang bawahan malah orang atasan sekalipun dalam  isu atau perkara yang bertentangan soal Islam di negara ini.

Walaupun keadaan kesihatannya  ketika ini tidak secerdas dulu, namun beliau akan sentiasa memantau dan mengikuti perkembangan semasa yang berkaitan dengan soal Islam.

``Saya dari segi sifat sayalah dari dulu lagi apa saja yang tidak betul dari pandangan saya akan saya tegur dan saya tidak kiralah perkara yang tidak betul itu dilakukan oleh orang ramai, orang atasan atau orang bawahan saya tak peduli saya tegur,’’ katanya ketika ditemui wakil Agenda Daily di pejabatnya di Kompleks Islam, Ipoh baru-baru ini.

Serentak dengan itu beliau menasihatkan umat Islam supaya berpegang kepada asas Maqasid Syariah yang mengatakan bahawa segala perintah Allah itu mesti dipatuhi dan dijaga.

``Jadi nasihat saya kepada orang Islam kita berpegang kepada prinsip Islam ialah supaya kita betul-betul menjaga hidup kita mengikut kemampuan kita dan kita mesti berpegang kepada asas Maqasid Syariah yang mengatakan bahawa segala peritah Allah mesti dijaga dan dipatuhi,’’ katanya.

Beliau yang juga bekas Kadi Besar Pulau Pinang itu  turut menzahirkan rasa kecewa dan sedihnya apabila melihat banyak berita yang dilaporkan dalam media masa kebelakangan ini berkaitan rasuah yang membabitkan orang Islam.

Bagi dirinya, yang paling mengejutkan apabila disiarkan laporan dikatakan berlakunya penyelewengan  wang zakat Pusat Zakat Pulau Pinang baru-baru ini.

 ``Sepatutnya perkara ini tidak boleh berlaku kerana wang zakat ini adalah hak Allah yang tujuannya untuk asnaf yang lapan. . . jadi kita diarahkan yang mana Tuhan suruh kita kutiplah zakat kemudian kita bagi kepada asnaf.

``Maknanya kita kutip kita berhak memakai tapi dalam bentuk kutipan itu kita bagi amil, bahagian amil itu bahagian kitalah kerana amil itu kita bayar.

``Tapi yang kita pelek apa yang berlaku sekarang ni ialah berlaku penyelewengan dalam projek pembangunan  melibatkan wang zakat umpamanya pembinaan rumah dan sebagainya yang ini berlaku penyelewengan .

``Tapi yang berlaku di Pulau Pinang ini sungguh mengejutkan memang kita tak sangka boleh berlaku perkara yang seperti ini kerana biasanya orang yang bekerja dengan zakat ini adalah orang yang betul-betul faham tentang hukum zakat jadi kalau dia faham tentang hukum zakat maka dia mesti melihat dia sebagai seorang pemegang amanah Allah bukan amanah manusia lagi

``Jadi apabila pegang amanah Allah tentulah dia mesti berhati-hati kerana tuhan melihat . . .orang tak nampak tapi Tuhan melihat jadi amanah Allah itu mestilah dijaga betul betul,’’ katanya.

Harussani menasihati umat Islam seterusnya supaya melaksanakan amanah Allah dengan sebaik-baiknya agar mereka tidak tergolongan kepada orang yang disebut munafikan.

Katanya,  orang yang munafik hukumannya cukup berat dan tempatnya dahsyat iaitu yang paling bawah  seperti yang disebut dalam al-Quran.

``Jadi sekarang ni dia tidak amanah itu satu daripada alamat munafik kata Rasulullah atau dia ada dia berjanji dia tidak menunaikan janji itu munafik jadi kita banyak sembayang, kita banyak sedekah, kita banyak takwa tetapi berlaku amalan yang bertentang apabila kita sendiri pecah amanah atau kita sendiri tidak menunaikan janji kerana kita jadi munafik.

``Jadi kita sembahyang apa jadi, kita puasa apa jadi hilang semuanya iaitu kita mesti  berhati hati. . . amanah itu bukan semestinya kita meletakkan wang  tapi janji masa tu kata lah pukul 2. . pukul 3. . . pukul 8 dan pukul 9 kita lambat kita ingkari waktu itu ia akan menyusahkan orang ramai maka itu sudah termasuk dalam khianat terhadap janji.

`` Bila khianat terhadap janji ia termasuk munafik maka batallah segala takwa kita yang buat yang kita bagi sedekah dan bagi bantuan semuanya hilang.

``Jadi kita kena jaga. . .yang dikatakan amanah tu banyak sehingga ibadat itu merupakan satu amanah ibadat adalah satu amanah yang ditetapkan oleh Allah SAW, sembahyang itu satu amanah, puasa itu satu amanah jadi kalau semua itu amanah . . . kita jangan jadi munafik dan hendaklah kita tunaikan amanah kita. . . bila kita tunaikan amanah dengan sepenuhnya kita dapat menjadi orang yang bertakwa kepada Allah SAW,’ kata Harussani.

Menyentuh  lanjut soal wang zakat yang diselewengkan beliau menegaskan perbuatan itu sudah menjadi satu dosa yang dari segi hukum.

``Pertama dia tidak amanah, bila tidak amanah dia jadi dosa hukum besar kemudian dia makan benda haram setiap sen yang dimakan haram kemudian setakat itu dia buat dosa besar dia beri makan pakai anak-anak isteri  daripada benda-benda haram jadi dosanya bertambah tambah. . . jadi pekara tidak amanah macam ini cukup berat,’’katanya.

Harussani turut kecewa kerana isu penyelewengan wang zakat ini memberi impak dan imej yang tidak baik di kalangan umat Islam dan apatah lagi  bagi orang bukan Islam yang melihat perkara ini akan memberi gambaran yang negatif.

``Nabi berkata Islam itu mempunyai peraturan yang tertinggi tidak ada peraturan yang boleh mengatasi dia tapi kita kena zahirkan peraturan jikalau kita tidak zahirkannya  ini hanya satu falsafah sahaja satu angan angan sahaja,’’katanya.-17/5/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 496  tetamu dalam talian