19Oktober2018

Manifesto pembangkang sama dengan Buku Jingga

Janji manifesto yang dibentangkan oleh Pakatan Pembangkang untuk Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14) lebih kurang sama saja dengan apa yang terkandung dalam Buku Jingga yang dibuat oleh mereka pada PRU 2008.

Malah apa yang ditawarkan oleh Pakatan Pembangkang kali ini, sekadar janji bulan dan bintang.

Begitulah pendapat yang disuarakan oleh Koordinator Barisan Nasional (BN) DUN Gombak Setia, Senator Datuk Megat Zulkarnain Omar Din pada program bicara santai "Anda Tanya Kita Jawab" anjuran UMNO-Online yang bertajuk ‘Manifesto BN Jadikan PH Tidak Lagi Relevan" di PWTC, Rabu.

Katanya semua yang dijanjikan oleh pembangkang dalam Buku Jingga itu gagal dilaksanakan setelah mereka menawan Selangor.

“Pada 2008 dalam manifesto Buku Jingga, Pakatan Pembangkang menjanjikan segala bulan dan bintang pada waktu itu dan akhirnya mereka tidak sangka dapat membentuk kerajaan negeri.

“Saya percaya kalau ada 10 alasan kenapa mereka dapat tawan Selangor pada waktu itu, salah satunya adalah kerana golongan muda dan bandar, terpesona dengan manifesto itu yang membina harapan.

“Akhirnya apabila menang, saya ingat tidak ada satu pun di dalam Buku Jingga itu dapat dilaksanakan. Jangankan nak bercakap untuk memberikan pendidikan percuma, yang pra-sekolah dijanjikan RM50.00 itu pun tidak dapat ditunaikan,“ kata Megat yang juga Ahli Dewan Negara.

Program bicara santai berkenaan dihoskan oleh Ketua Penerangan UMNO Malaysia,  Tan Sri Annuar Musa turut menampilkan Ketua Jentera Siswa BN, Muhammad Ameerul Haziq Mohd Azman dan peguam Ellena Razif.

“Waktu kita kecil dahulu manifesto tidaklah dipandang sangat, namun dalam tiga atau empat kali pilihan raya yang lepas, manifesto sudah jadi perhatian di mana rakyat mahu lihat apa yang dijanjikan dan ditawarkan.

"BN meletakkan tawaran yang boleh dilaksanakan berbanding janji pakatan yang hanya sekadar bulan dan bintang.

"BN bukan bercakap kosong. Kita bentangkan prestasi dan pencapaian kita untuk rakyat buat penilaian. Pakatan Pembangkang pula akan terus membuat tawaran atau janji yang enak-enak termasuk yang tidak masuk akal untuk memancing undi rakyat," katanya.

Annuar Musa mencelah mengatakan pada PRU yang lalu, Kelantan dijanjikan pemberian elaun RM100 kepada warga emas tetapi sehingga kini ianya tidak dilaksanakan.

"Pengerusi PAC menggunakan istilah - manifesto satu ilusi - ertinya satu benda yg digambarkan nampak macam "real" tetapi tak "real".

"Ini satu situasi yang cukup bahaya sebab kadang-kadang kita membina sesuatu hipotesis atau lakarkan situasi untuk jadikan satu benda yang dramatik, menarik perhatian.

"Kadang-kadang yang bukan masalah digambarkan sebagai masalah. Yang bukan salah digambarkan salah. Yang betul digambarkan salah. Kemudian diulang-ulang, akhirnya rakyat percaya seolah-olah benda itu satu realiti.

"Kemudian datang preskipsi, dialah orang yang boleh mengubati ... macam dukun jumpa orang sakit, gambarkan orang ada hantu dan boleh cerita segala-galanya tetapi tak boleh bagi preskipsi bagi menyembuhkan penyakit. Ini yang bahaya," katanya.

Muhammad Ameerul berkata sebagai orang muda, dia merasakan manifesto pembangkang hanya satu putar belit.

"Manifesto Pembangkang memutarbelitkan rakyat. Manifesto BN pula membantu dan memperkuatkan orang muda. Orang muda nakkan platform seperti BN buat sekarang di mana kami boleh menyuarakan pendapat dan bercakap. Kami bukan dipergunakan," katanya.

Peguam, Ellena Razif berkata Tun Dr Mahathir pernah berkata dalam realiti semua orang perlukan wang.

"Itu ayat Tun M. Tetapi dalam manifesto dia, semua nak bagi percuma. Polisi Najib Razak pula jangkapanjang. Contohnya MRT yang meningkatkan produktiviti dan memudahkan orang pegi kerja. Pada masa hadapan,  nak buat keretapi laju (HSR) dari Kuala Lumpur ke Singapura. Kuala Lumpur boleh menjadi hub untuk menarik pelabur masuk ke negara.

"Lebuhraya Pan Borneo bila siap kita boleh bayangkan kesalinghubungan yang diwujudkan. Kita lihat dia (Najib) pemimpin yang berfikir ke depan. Ini kerana dia seorang ekonomis. Kita perlu praktikal," katanya.-19/4/2018 *gambarfail

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 580  tetamu dalam talian