15November2018

Mana janji pendidikan percuma...peruntukan tinggi untuk apa?

Bekas menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh pelik kenapa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak menampakkan usaha ke arah pendidikan percuma sebagaimana yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beliau berkata demikian selepas Kementerian Pendidikan mendapat peruntukan paling tinggi dalam Bajet 2019.

“Dalam Bajet 2019 jelas kelihatan PH tidak akan menghapuskan bayaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagaimana yang dijanjikan kepada mereka yang berpendapatan di bawah RM4,000.

“Bajet yang diperuntukkan untuk Kementerian Pendidikan sangat biasa kerana semua yang diperuntukkan sudah dilaksanakan iaitu dalam bidang penyelidikan, sasaran penyelidikan, sasaran kedudukan dan juga bidang keusahawanan.

“Semua ini adalah usaha Kementerian Pengajian Tinggi semasa pemerintahan kerajaan terdahulu,” katanya.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam pembentangan Bajet 2019 memperuntukkan RM60.2 bilion daripada keseluruhan perbelanjaan untuk Kementerian Pendidikan.

Kementerian Pendidikan adalah penerima peruntukan yang terbesar berjumlah RM60.2 bilion atau 19.1%.

Manakala dalam manifesto PRU14, 2 janji utama PH berkaitan pendidikan tinggi; pertama mereka ingin menjadikan universiti awam percuma dalam tempoh 5 tahun dan tidak meletakkan kewajipan kepada graduan untuk membayar PTPTN sehingga mencapai angka gaji RM4,000.

Menurut Setiausaha Kehormat Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Tunku Munawirah Putra berkata, peruntukan itu amat penting untuk dibelanjakan dengan efektif bagi memperoleh hasil yang terbaik.

“Persoalan sekarang, adakah terdapat mekanisme untuk memantau perbelanjaan yang dijalankan mengikut prosedur dan struktur teratur serta dibelanjakan mengikut perancangan yang betul dan keberkesananya diketahui.

“Kita juga perlukan mekanisme untuk menyelesaikan masalah dihadapi di sekolah seperti ketiadaan guru, dan sebagainya.

“Hasrat kami untuk Bajet 2019 supaya kerajaan lebih mengutamakan pembelajaran program bahasa Inggeris di sekolah menengah, program pembiayaan sekolah, penambahbaikan sekolah, pembelajaran sains secara inkuiri, pendidikan guru, latihan guru, imbuhan gaji dan insentif,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan dan Inovasi Sabah, Jenifer Lasimbang memberitahu Bajet 2019 perlu memberi tumpuan bagi menaiktaraf sekolah di Sabah.

“Penambahbaikan perlu lebih mengutamakan prasarana bekalan elektrik, air bersih dan capaian internet.

“Saya amat gembira dengan Bajet 2019 kali ini kerana ia mengfokuskan kepada pembangunan modal insan dan berharap agar Kementerian Pendidikan melabur dalam bidang penyelidikan dan inovasi dalam bidang pendidikan untuk membawa ke arah pembelajaran yang menyediakan pelajar ke era revolusi industri 4.0,” katanya.-8/11/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 818  tetamu dalam talian