21Mei2018

Levi kenderaan perdagangan di Linkedua Johor-Singapura akan dikurangkan - TPM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka akan mengumumkan berita baik buat pengusaha dan pemilik kenderaan perdagangan yang sering berulang alik dari Johor Bahru ke Singapura dalam masa terdekat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata Perdana Menteri akan mengumumkan pengurangan kadar levi kenderaan perdagangan dan tol di Lebuh Raya Linkedua sebagai salah satu langkah mengurangkan masalah kesesakan di Tambak Johor.

Zahid berkata pengumuman itu akan dibuat selepas jawatankuasa khas mengenai isu kesesakan di Tambak Johor dan Link Kedua yang dipengerusikannya membentangkannya dalam mesyuarat kabinet.

"Saya cuma boleh kata kerajaan memang bercadang untuk mengurangkan levi tetapi butiran terperinci akan diumumkan oleh Perdana Menteri," katanya.

Zahid berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Isu Kesesakan Di Tambak Johor dan Linkedua di Putrajaya, Selasa.

Katanya, berikutan sesi konsultansi tahunan antara Perdana Menteri Malaysia dan Singapura, beberapa cadangan telah dibawa oleh Perdana Menteri kepada jemaah menteri pada 17 dan 24 Januari lalu mengenai kesesakan di Tambak Johor.

Zahid berkata, jawatankuasa khas bukan sahaja mahu mencari penyelesaian kepada masalah kesesakan ketika musim perayaan, cuti umum atau hujung minggu sahaja tetapi juga mahu penyelesaian jangka panjang.

Katanya mesyuarat turut mencadangkan supaya Singapura juga menubuhkan jawatankuasa khas yang sama supaya mesyuarat berkala dapat dilakukan di antara kedua-dua negara.

Menurutnya mesyuarat juga mahu melihat beberapa pembaikan dan kenaikan taraf kemudahan sedia ada di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) serta Kompleks Imigresen, Kastam , Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).

Katanya, statistik Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mendapati bahawa rekod pergerakan individu keluar masuk di pintu masuk darat Malaysia-Singapura dari 2015 hingga 2017 adalah sebanyak 101,690,828. Manakala purata pergerakan keluar masuk harian adalah sebanyak 278,374. Semasa cuti perayaan ia boleh mencecah sehingga 500 ribu.

"Kita juga telah melakukan langkah segera dengan menempatkan 150 orang anggota Rela untuk membantu menyuraikan trafik di Tambak Johor," katanya.- 6/2/2018- OLEH NOOR HASILAH ISMAIL

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 806  tetamu dalam talian