14Disember2018

‘Kerajaan Selangor diberi 4 bulan untuk terima perjanjian air’

Kerajaan Selangor diberi masa empat bulan sehingga Julai depan untuk bersetuju melaksanakan proses migrasi bagi mengelakkan krisis air di negeri itu menjadi lebih buruk.

Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Zaini Ujang berkata jika Selangor enggan memberi kata putus, banyak implikasi yang akan berlaku antaranya Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 yang siap menjalani proses pengujian dan pentauliahan, tidak dapat digunakan.

“LRA dapat membekalkan 10% margin simpanan air Selangor menyamai 565 juta liter sehari (MLD).

“Sedangkan di masa sekarang, margin simpanan air Selangor kosong dan ini bermakna bekalan air tidak cukup untuk disalurkan ke tempat lain. Apatah lagi di Selangor (penggunaan air) sangat tinggi.”

Beliau berkata demikian selepas Sesi Dialog Transformasi Nasional 50 (TN50) dan Pelan Induk Teknologi Hijau 2017-2030 di Universiti Sains Islam Malaysia, semalam.

Mengulas lanjut, Zaini berkata, Selangor dan negeri lain yang tidak melaksanakan proses migrasi terpaksa menampung perbelanjaan tinggi untuk pembinaan loji, mengganti paip dan kerja penyelenggaraan lain.

Beliau berkata, sekurang-kurangnnya RM3 bilion hingga RM8 bilion diperlukan bagi kos pembinaan LRA serta kerja baik pulih infrastruktur, dan tiada syarikat yang sanggup mengeluarkan perbelanjaan sebanyak itu.

“Macam di Selangor, apa yang berlaku ialah mereka melaksanakan kerja penyelenggaraan kecil seperti menampal paip bocor.

“Apabila paip lama yang berusia lebih 40 tahun tidak diganti menyebabkan ia pecah dan keadaan menjadi lebih teruk.

“Ini bukan masalah air semata-mata, tetapi masalah margin simpanan air yang tidak mencukupi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zaini berkata, kerajaan memperuntukkan RM1.9 bilion bagi membina Simpanan Air Dari Sungai (ORS) di 4 negeri dalam usaha memastikan bekalan air sentiasa dapat menampung keperluan dan pembangunan sesebuah kawasan.

“Dalam pembentangan Bajet 2018, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meluluskan peruntukan RM400 juta untuk pembinaan ORS di Linggi, Negeri Sembilan, RM300 juta di Melaka dan masing-masing RM600 juta di Langkawi, Kedah dan Johor.

“ORS yang akan dibina di Linggi bagi menyokong pertumbuhan pesat Malaysia Vision Valley di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, proses pelantikan perunding bagi projek ORS sudah dimulakan dan dijangka proses pembinaan akan dimulakan tahun depan yang mengambil masa 2 ke 3 tahun untuk disiapkan.

Seramai 1,000 peserta terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi dan kakitangan awam menghadiri dialog itu yang antara lain membincangkan cara pengurangan pelepasan karbon.-13/3/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 569  tetamu dalam talian