15November2018

Kadar pengangguran dijangka meningkat, 7,000 hilang kerja sebulan...

Belum setahun Pakatan Harapan memerintah... bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjangkakan kadar pengangguran akan meningkat, di mana 7,000 pekerja akan hilang pekerjaan setiap bulan.

“Ini semua akan menyebabkan permintaan di negara kita menguncup dan saya bimbang bila keadaan dalaman semakin terancam dan luaran semakin lemah dan tidak menentu seperti ramalan Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).

“Tahun hadapan merupakan tahun yang amat mencabar kepada rakyat Malaysia.”

Najib berharap kerajaan PH menumpukan cara untuk terus membangunkan rakyat dan ekonomi negara.

“Rakyat sepatutnya tidak dibebankan dengan cukai-cukai tambahan yang saya difahamkan terpaksa diperkenalkan kepada mereka,"katanya menerusi siaran langsung Facebooknya pada Khamis.

Menurut Najib, kerajaan PH daripada menjanjikan bulan dan bintang sebelum ini, kini telah berubah menjadi belanjawan pengorbanan rakyat.

Walhal katanya, bagi kerajaan Barisan Nasional (BN), sekiranya diberi terus berkuasa, memang sudah ada perancangan bahawa bantuan, manfaat serta jumlah pembangunan yang dapat disediakan akan terus bertambah.

“Saya berasa amat sedih berada dalam keadaan ini kerana rakyat yang kita hendak terus bela mengikut perancangan kerajaan BN. Untuk tahun ini, kita tahu kenaikan khas tahunan untuk penjawat awam yang telah dijanjikan oleh kerajaan BN tidak dapat dilakukan. Ini disebabkan langkah yang telah mereka buat iaitu memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) telah menyebabkan kehilangan hasil negara yang begitu besar.

“Sebab itulah di bawah kerajaan BN, memang belanjawan kita boleh disifatkan sebagai sangat inklusif kerana setiap kelompok dalam masyarakat kita memang mendapat manfaat daripada bajet negara,” kata beliau yang menjadi Perdana Menteri selama sembilan tahun itu.

Selain itu, Najib turut menjangkakan kerajaan PH tidak meneruskan bantuan kepada kumpulan “mudah terjejas” seperti nelayan, pesawah padi dan penoreh getah dalam Bajet 2019 yang akan diumumkan petang Jumaat.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, semasa membentangkan Bajet 2018 tahun lalu, beliau menyediakan peruntukan besar RM6.5 bilion bagi sektor pertanian.

“Saya lihat hari ini ada kemungkinan bantuan-bantuan ini tak dapat diteruskan atau sudah dipotong, umpamanya RM200 untuk penoreh getah pada musim tengkujuh, pesawah padi RM200 dan RM300 sebulan untuk para nelayan.

“Ini semua tak akan diteruskan oleh kerajaan PH dan sudah tentu kumpulan-kumpulan yang mudah terjejas ini akan terkesan,” katanya menerusi siaran langsung Facebooknya hari ini.

Kerajaan Barisan Nasional pimpinan Najib dalam Bajet 2018 memperuntukkan RM6.5 bilion untuk memperkasa dan memajukan sektor pertanian negara bagi memanfaatkan pesawah, petani, pekebun kecil, nelayan dan penternak.-2/11/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 791  tetamu dalam talian