18Ogos2018

Iktiraf ulama, bukan komunis, kata Mufti Perak

Kerajaan wajib menolak cadangan pihak tertentu supaya mengkaji semula buku teks sejarah bagi mengiktiraf peranan komunis dalam perjuangan mencapai kemerdekaan negara kerana langkah itu akan menafikan sumbangan ulama, rakyat dan perajurit mempertahankan tanah air, kata Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria.

Beliau berkata mengiktiraf komunis adalah seperti menggalakkan kezaliman dan fahaman ekstrem dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Adalah tidak perlu memperkenalkan komunis kepada generasi akan datang sebaliknya memperkenalkan sumbangan alim ulama dan pejuang-pejuang kemerdekaan untuk memupuk nilai kesetiaan kepada raja dan negara yang merupakan salah satu Rukun Negara.

“Pelajar-pelajar sekolah perlu disemai nilai-nilai murni yang holistik bukannya mendedahkan mereka kepada keganasan dan kezaliman,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata negara turut terhutang budi dengan alim ulama bagi sumbangan mereka dalam menggerakkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat bagi mencapai kemerdekaan.

“Ulama menentang komunis kerana mempertahankan akidah umat Islam dan menghalang komunis daripada menjajah tanah air.

“Komunis telah menangkap dan membunuh alim ulama . komunis juga telah membunuh ramai penduduk Tanah Melayu termasuk orang tua, wanita dan kanak-kanak,” katanya.

Harussani turut menegaskan komunis tidak memberi apa-apa sumbangan dalam kemerdekaan Malaysia malah telah menyebabkan negara ini diisytiharkan darurat selama 12 tahun bermula 7 Julai 1948 hingga 31 Julai 1960.

Beliau turut menasihatkan umat Islam agar mengelakkan diri daripada pemikiran dan fahaman komunis seperti ateis, tolak tuhan, tolak agama, ‘free thinker’, matlamat menghalalkan cara mengikut aliran Machiavelli dan agama adalah candu.-10/8/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 382  tetamu dalam talian