18Julai2018

Iktiraf UEC sebahagian janji manifesto PH, kata menteri

Pangkah lagi.... Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menegaskan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) adalah salah satu janji dalam manifesto Pakatan Harapan semasa pilihanraya umum ke 14 lalu.

"UEC adalah salah satu janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH). Cuma kita perlu ambil kira pandangan daripada beberapa pihak yang mereka tidak lihat sijil UEC sebagai sijil kemasukan semata-mata tetapi mengambil kira isu bahasa Melayu dan keharmonian.

“Saya perlu bertemu semua pihak berkepentingan bukan hanya kaum Cina tetapi juga golongan pejuang bahasa kebangssan dan mereka yang berurusan dalam menjaga keharmonian. Jika kita ingin UEC diiktiraf nanti, kita tidak mahu ia menjejaskan perpaduan dan bahasa kebangsaan,” katanya dipetik Bernama.

Bagaimanapun jelasnya, Kementerian Pendidikan tidak akan menggadaikan bahasa Melayu dan akan melakukan kajian holistik sebelum membuat sebarang keputusan berhubung pengiktirafan UEC.

Katanya meskipun terdapat cadangan untuk mengiktiraf sijil itu sebagai antara syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) namun beliau tidak mahu membuat keputusan terburu-buru.

Menurutnya pandangan pelbagai pihak tetap jadi keutamaan malah memandang berat isu kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan impak keputusan yang akan menjejaskan perpaduan serta keharmonian.

Maszlee mengakui bahawa menentukan keputusan berhubung UEC bukanlah suatu yang mudah dan pihaknya tidak mahu selepas sesuatu keputusan dibuat akan berlaku ‘”pusingan U” atau “flip flop”.

“Kita tidak mahu menggadaikan bahasa Melayu dan apa sahaja keputusan kita ambil akan bersifat komprehensif dan holistik. Meskipun kita tidak boleh puaskan hati semua pihak, tetapi kita boleh memberikan kelegaan kepada beberapa pihak,” katanya.

UEC ialah sijil yang dikeluarkan sekolah menengah persendirian Cina Malaysia dan pelaksanaannya tidak mengikut sistem pendidikan kebangsaan.-9/7/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 354  tetamu dalam talian