18Ogos2018

Guan Eng patut jawab bagaimana SST tidak membebankan rakyat

Pemuda UMNO membidas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mengeluarkan kenyataan media berbaur politik berkaitan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sedangkan kedudukannya adalah dalam kerajaan yang memerintah hari ini.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata lebih melucukan apabila Guan Eng pula yang meminta pembangkang untuk memberi penjelasan kepada rakyat bagaimana SST membebankan berbanding cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

“Mungkin Lim Guan Eng masih baharu dan belum menyedari kedudukannya sebagai Menteri Persekutuan dan telah terbiasa dengan sifatnya sebagai pembangkang.

“Sebagai kerajaan memerintah, Lim Guan Eng sepatutnya meyakinkan rakyat bahawa pengenalan semula cukai SST tidak akan membebankan rakyat malah akan dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas berkaitan tindakan Guan Eng semalam yang telah mengeluarkan siaran media mendesak agar UMNO dan mantan Presidennya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menjelaskan bagaimana SST membebankan rakyat berbanding GST beradasrkan logik kutipan SST hanyalah berjumlah RM21 bilion berbanding GST berjumlah RM44 bilion.

“Siaran media dua muka surat ini jelas berbaur politik dan sengaja dikeluarkan bertujuan untuk menyerang bekas Perdana Menteri. Ianya bukan sahaja sesuatu yang janggal untuk dikeluarkan oleh kerajaan malah siaran itu juga cuba untuk memperkotak-katikkan pemikiran rakyat.

“Lim Guan Eng memberi contoh tentang penjualan air tin. Contoh yang diberikan ini bukan sahaja tidak memberi gambaran yang jelas, ianya juga mengelirukan malah dibuat secara sambil lewa.

“Lim Guan Eng langsung tidak menyatakan bagaimana SST ini merupakan rejim cukai yang bersifat embedded. Cukai ini akan dibawa sehingga ke peringkat akhir iaitu pengguna, namun jumlah cukai ini tidak dinyatakan di dalam resit pembelian serta tersembunyi dari pengetahuan pengguna.”

Tegasnya, kadar 0 peratus GST bermula Jun lalu tidak terbukti telah menurunkan harga barangan.

“Ini bermakna, pengenalan SST pada bulan September nanti hanya akan menambah bebanan cukai kepada harga ketika ini seterusnya akan menaikkan harga barang.

“Dalam kenyataan saya sebelum ini, saya juga telah memberi contoh bagaimana harga sesuatu barangan itu telah dinaikkan terlebih dahulu sebelum GST dikadar sifarkan dan penurunan harga yang berlaku selepas GST 0 peratus hanyalah mengembalikan harga barangan tersebut kepada harga asal. Berdasarkan situasi ini, kembalinya SST nanti pastinya akan menaikkan harga barang.”

Katanya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution juga telah mengakui kadar 0 peratus GST hanya memberi kesan yang sangat kecil kepada harga barangan, malah beliau juga turut menyatakan terdapat peniaga yang menaikkan harga jualan selepas GST dikadar sifarkan dan ini sekali lagi akan menyebabkan pertambahan cukai SST yang hanya akan menaikkan harga barang.

“Pakatan Harapan sebelum ini telah menyalahkan GST yang dikuatkuasakan semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebagai punca kenaikan harga barang. Namun, selepas kadar 0 peratus dilaksanakan, ternyata sikap peniaga itu sendiri adalah punca kenaikan harga barang.

“Berdasarkan situasi yang saya nyatakan di atas, kita menjangkakan pengenalan SST hanya akan menaikkan harga barang,” tegas beliau lagi.-18/7/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 470  tetamu dalam talian