15Oktober2018

Guan Eng melalut jawab pasal SST di Dewan Rakyat

Dalam banyak-banyak menteri Pakatan Harapan (PH) yang ‘terkantoi’ tak dapat jawab soalan di Dewan Rakyat, cara Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kantoi boleh dikatakan paling epik sekali setakat ini.
 
Bagi melepaskan diri, beliau selamba menyalahkan kerajaan terdahulu atau ahli parlimen pembangkang Barisan Nasional (BN) yang bertanya soalan dan paling teruk, Guan Eng tidak menjawab soalan berkaitan.
 
Pada Selasa ketika menggulung perbahasan usul Rang Undang-undang (RUU) Cukai Jualan 2018 (SST), Ahli Parlimen DAP Bagan itu ‘meroyan’ setelah diasak ahli parlimen BN terutama Khairy Jamaluddin.
 
Akibat tidak tahan diasak pelbagai soalan daripada Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, Guan Eng terus angin memberikan jawapan melalut dan istilah sekarang – ke laut.
 
Terdahulu Khairy ketika mencelah penggulungan telah bertanyakan mengenai proses pembayaran semula tuntutan GST.
 
“Di sini saya nak Yang Berhormat Menteri jelaskan sepenuhnya tentang pembayaran balik claim input tax yang tidak dijelaskan oleh kerajaan dengan pegawai-pegawai yang ada di belakang sana. Sekiranya mengikut undang-undang, tak bayar balik selepas 14 hari maka kerajaan pada pihak yang salah.
 
“Tapi ada banyak kes yang saya difahamkan adalah disebabkan pertikaian daripada pihak Kastam sendiri yang tidak mahu bayar balik tuntutan tersebut sebab mereka pertikaikan kesahihannya.
 
“Kalau sekiranya angkanya telah melonjak sejak 2-3 bulan yang lepas, ini disebabkan oleh stok-stok yang telah dibeli dalam tax holiday yang mana mereka terpaksa tuntut input tax kepada benda-benda yang dah dibeli. That’s why the amount went up.
 
“Tapi berbalik kepada soalan asas, kalau masalahnya adalah proses claim pembayaran balik, fix the proses,” ujar Khairy.
 
Guan Eng bagaimanapun di dalam jawapan cuba berdolak-dalik daripada menyatakan kerajaan sekarang tidak boleh membuat pembayaran semula.
 
Sebaliknya beliau menuduh kerajaan terdahulu iaitu BN telah merompak wang tersebut.
 
“Saya amat terkejut dengan alasan yang diberikan oleh Rembau. Sekiranya anda tidak faham apakah sebab sebenarnya GST refund tidak dikembalikan. Saya syaki YB Jeli (Datuk Seri Mustapa Mohamed) mungkin tahu.
 
“Ini adalah satu perkara yang serius yang sepatutnya dibayar dalam masa dua minggu tapi dua tahun tidak dibayar. Kerana wang yang dibayar sebagai pendahuluan tidak dimasukkan dalam akaun amanah tapi dimasuk dalam consolidated fund sebagai revenue dan kerana dianggap sebagai hasil telah digunakan oleh kerajaan terdahulu terlebih dahulu.
 
“Saya nak sebut di sini, bukan merompak GST, merompak refund GST. Ini adalah satu perompakan yang serius yang mana wang yang sepatutnya berada dalam akaun amanah tidak ada dalam akaun amanah.
 
“Macam mana kerajaan sekarang boleh bayar kalau tidak ada dalam akaun amanah,” tegasnya disambut kecaman ahli-ahli parlimen pembangkang yang tidak puashati caranya menjawab.
 
Bagaimanapun apabila diminta oleh Khairy supaya beliau menunjukkan bukti dakwaannya itu, Guan Eng memberikan alasan akan mengemukakannya pada lain hari.
 
Selain itu, beliau juga meminta ahli-ahli parlimen yang bertanya merujuk kepada laman web Jabatan Kastam berhubung senarai barang yang dikenakan SST– Oleh AIDIL SYUKRI
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 349  tetamu dalam talian