23November2017

BN akan kekalkan SJK tetapi kaum lain kena kuasai Bahasa Melayu

Kerajaan Barisan Nasional akan terus menyokong dan mempertahankan Sekolah Jenis Kebangaaan (SJK) Cina dan Tamil kerana ia sudah termeterai dalam kontrak sosial dan perlembagaan.
 
"Nenek moyang kita telah membuat keputusan yang bijaksana apabila mereka tidak memilih asimilasi dan sebaliknya memilih integrasi. Sebab itu kita berbeza dari negara-negara lain.
 
"Ia telah diputuskan sejak sebelum Merdeka. Nenek moyang kita telah memilih integrasi dan membenarkan sekolah Cina dan Tamil didirikan di negara ini.
 
"Kita tidak boleh berkata hari ini kita tak mahukan sekolah Cina. Ini bukan semangat Barisan Nasional (BN). Kita hendaklah menghormati kontrak sosial yang diterjemahkan dalam perlembagaan, dasar dan undang-undang," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
 
Beliau berkata demikian semasa dialog TN50 sempena Sidang Kemuncak Belia Cina Malaysia di Serdang, Selangor, Sabtu. Turut hadir ialah presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
 
"Kita tidak boleh mengubah apa yang telah diputuskan oleh nenek moyang kita. Kita kena buat yang terbaik dan jangan mengubah dasar yang menjadi tiang asas negara kita. Apabila kita cuba mengubahnya, kita akan berdepan dengan masalah.
 
"Maka saya bukan sahaja akan mempertahankan malah akan menyokong sekolah-sekolah Cina," tambah Najib, yang juga presiden BN.
 
Menurut Najib sekiranya dia mementingkan populariti dalam UMNO dia tidak akan melakukannya.
 
"Pemimpin-pemimpin dalam Pembangkang hari ini tidak menyokong keputusan saya tetapi saya melakukannya kerana saya yakin kepada keputusan yang dibuat oleh nenek moyang kita.
 
"Negara ini milik semua. Setiap rakyat mempunyai hak. Sebagai BN kita mewakili setiap komuniti " katanya.
 
Sungguhpun begitu, Najib meminta masyarakat Cina menghormati dan menguasai Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.
 
Katanya penguasaan Bahasa Malaysia di SJKC harus diperkasakan kerana ia dapat dijadikan medium untuk mengeratkan perpaduan kaum.
 
"Kita akan membina lebih banyak SJKC sekiranya ada keperluan, sama ada di bandar atau luar bandar. Tetapi mereka mestilah memperkasakan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan," katanya.-21/10/2017 - OLEH NOOR HASILAH ISMAIL
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 657  tetamu dalam talian