19Ogos2018

Apakah kebebasan suara bermaksud fitnah dihalalkan...?

Tindakan sesetengah pihak yang meminta polis menghentikan siasatan terhadap Ketua Media dan Komunikasi bagi Jawatankuasa Peralihan Majlis Penasihat Kerajaan, Datuk A. Kadir Jasin seperti membenarkan sesiapa sahaja di negara ini memfitnah dan menghina Yang di-Pertuan Agong.

Presiden Penaja Pemantau Malaysia Baharu (PMB), Datuk Lokman Noor Adam berkata, kerajaan juga dipersoal kerana tidak jelas dengan konsep kebebasan bersuara yang sebenar di negara ini.

Malah, katanya, kerajaan baharu ini turut dianggap berusaha untuk membuang institusi raja-raja Melayu dan menjadikan Malaysia sebuah negara republik.

“Peguam PKR, Latheefa Koya dan Maria Chin hari ini mendesak polis menghentikan siasatan ke atas A. Kadir. Adakah hari ini kerajaan Pakatan Harapan sudah mengubah polisi dengan menghalalkan sesiapa jua untuk memfitnah, menghina dan memperlekeh Yang di-Pertuan Agong?

“Adakah ini maksud kebebasan bersuara? Adakah kebebasan bersuara bermakna fitnah dihalalkan, cerita boleh direka untuk menghasut rakyat membenci raja-raja Melayu? Bagaimana kalau rakyat macam saya memfitnah Tun Dr. Mahathir Mohamad?, tanya beliau dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau mengulas kenyataan A. Kadir menerusi catatan blog peribadinya yang mendakwa Sultan Muhammad V membelanjakan kira-kira RM257 juta dalam tempoh 16 bulan sejak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, purata RM16 juta sebulan dibelanjakan antaranya untuk penginapan, kediaman, barangan peribadi, pesawat, pengangkutan, pakaian Agong, hadiah dan cenderamata, kunjungan luar negara serta gaji kakitangan istana.

Lokman berkata, beliau mencabar kerajaan Pakatan Harapan supaya melaksanakan referendum rakyat.

“Jika lebih 50 peratus rakyat negara ini menolak mengundi untuk menamatkan institusi beraja, maka tukarlah negara ini kepada sebuah republik. Tetapi jika rakyat mahu sistem raja berperlembagaan kekal atau jika kalian tidak ada keberanian untuk melakukannya, belajarlah menghormati raja-raja Melayu,” katanya.

Katanya, pengundi muda Melayu memberi undi kepada Pakatan Harapan supaya menjadi pemerintah lebih adil dan saksama, bukan untuk menghalalkan tindakan kalian menghina institusi raja-raja Melayu yang menjadi payung kepada rakyat dan agama Islam.-9/6/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 536  tetamu dalam talian