19Julai2018

Amboi... KM DAP mahu cepat buat LRT di Pulau Pinang

Dalam keadaan projek berkaitan pengangkutan awam di Lembah Klang dan Pantai Timur ditangguhkan atau dibatalkan, Pulau Pinang tunjuk taring minta percepatkan bina LRT di negeri tersebut.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berharap projek Transit Aliran Ringan (LRT) di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang dapat dilaksanakan dalam tempoh lima tahun kepimpinannya.

Chow yang baru dilantik sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggantikan Lim Guan Eng susulan kejayaan DAP/Pakatan Harapan mengekalkan pentadbiran kerajaan negeri pada pilihan raya umum (PRU) lalu, berkata ini kerana projek itu dijangka mengambil masa yang panjang untuk siap.

"Projek LRT ini mungkin akan mengambil masa enam hingga lapan tahun untuk siap, jadi kalau boleh dimulakan pembinaan dalam dua atau tiga tahun lagi maka kita sudah melangkah ke depan sedikit," katanya.

Beliau berkata sejak tiga tahun lalu, projek itu menjadi tumpuan utama kerajaan negeri termasuk dari segi membuat kajian bagi memenuhi syarat yang ditetapkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat serta Jabatan Perancangan Bandar dan Desa.

Chow yang turut memegang portfolio Hal Ehwal Tanah dan Pembangunan Tanah, Penerangan dan Pengangkutan Pulau Pinang, berkata projek tersebut boleh dijalankan secepat mungkin sekiranya kelulusan diperoleh dalam tempoh dua atau tiga tahun ini.

Chow sebelum ini pernah melahirkan hasrat agar semua projek mega di negeri itu akan dipercepatkan memandangkan kerajaan negeri Pulau Pinang kini dalam satu pasukan yang sama dengan kerajaan persekutuan.

Antara projek yang diklasifikasikan sebagai projek mega negeri ialah projek terowong dasar laut yang merangkumi pembinaan tiga lebuh raya utama, projek Penambakan Pulau Pinang Selatan (PSR), Penang Sky Cab dan LRT dengan kos keseluruhan dianggar RM46 billion.

Sementara itu, mengulas cadangan badan bukan kerajaan agar kerajaan membina tram bagi mengurangkan kos projek LRT, Chow yang juga wakil rakyat Dewan Undangan Negeri Padang Kota, berkata projek tram kurang berdaya maju kerana akan melibatkan penggunaan jalan raya sedia.

"Kalau tram dibina di atas jalan yang ada, maka kuranglah kapasiti jalan sebab sebahagian perlu digunakan untuk membina landasan tram. Ini tidak sama dengan sistem LRT atau MRT yang mempunyai landasan di atas atau di bawah jalan raya," katanya.-20/6/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 527  tetamu dalam talian