23Oktober2017

80 peratus pusat tahfiz tak patuh aspek keselamatan

Mengejutkan... namun itulah hakikat yang perlu didepani oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah selepas pemeriksaan mendapat 80 peratus daripada 62 sekolah tahfiz yang beroperasi di negeri ini tidak mematuhi aspek keperluan keselamatan.
 
Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran negeri, Penguasa Kanan Bomba I, Mohd Zaidi Maat berkata pihaknya menjalankan pemeriksaan keselamatan di 31 sekolah tahfiz sejak awal bulan lalu.
 
“Pemeriksaan mendapati ada antara sekolah ini yang tidak mempunyai alat pemadam api, tiada sistem gelung hos, tiada tangga ke-2 sekiranya berlaku kecemasan dan susunan katil di asrama yang tidak mengikut jarak yang ditetapkan.
 
“Baki 31 sekolah tahfiz lagi akan diperiksa dalam masa terdekat dan sekolah yang tidak mematuhi aspek keselamatan juga diberi teguran secara bertulis daripada pihak bomba,” katanya selepas Majlis Perasmian Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran dan Pertandingan Bomba di Dapur hari ini.
 
Katanya sebanyak 147 sekolah tahfiz, pondok dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) berdaftar di bawah JBPM negeri dan daripada jumlah itu, sebanyak 118 premis diperiksa sehingga Julai lalu.
 
Mohd Zaidi berkata hasil pemeriksaan itu juga membawa kepada penemuan punca kegagalan pihak sekolah menyediakan alat pemadam api dan tangga ke-2 antaranya kerana kekurangan dana.
 
“Kekurangan dana merupakan antara punca pihak sekolah gagal menyediakan peralatan keselamatan yang mencukupi, jadi saya harap pihak korporat atau badan bukan kerajaan (NGO) dapat memberi sumbangan kewangan kepada sekolah-sekolah ini.
 
“Aspek keselamatan ini perlu diambil berat kerana kita tidak mahu kejadian kebakaran seperti di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur pada 14 September lalu yang mengorbankan 21 pelajar dan 2 guru tahfiz berulang lagi,” katanya.
 
Katanya, demonstrasi dan ceramah berkaitan aspek keselamatan juga sentiasa dijalankan untuk pelajar dan pihak pentadbiran sekolah supaya mereka tahu apa yang perlu dilakukan sekiranya berlaku kebakaran di premis mereka.
 
Sementara itu, beliau berkata daripada 147 premis sekolah tahfiz, pondok dan SAR yang berdaftar di bawah JBPM negeri, sebanyak 90 sekolah didaftarkan di bawah skuad bomba tahfiz bagi membantu mengurangkan insiden kebakaran membabitkan bangunan institusi pendidikan agama di negeri ini.-10/10/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 823  tetamu dalam talian