23September2018

12,900 rakyat termiskin bakal terima rumah baharu

Sebanyak 12,900 rakyat termiskin di seluruh negara bakal menerima manfaat rumah baharu dan pembaikan semula rumah usang menerusi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) 2018, yang menelan kos RM271.6 juta.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bantuan tersebut membuktikan bahawa kerajaan Persekutuan tidak pernah jemu memberi tumpuan khusus kepada rakyat luar bandar, yang sentiasa menyokong Barisan Nasional (BN).

"Ini baharu saya sebut rumah, belum lagi jalan kampung dan kemudahan sosial. Bagi pemasangan lampu-lampu jalan LED tahun lepas kita peruntuk RM100 juta di kawasan luar bandar demi keselamatan anak-anak dan kurangkan jenayah.

"Budi masyarakat luar bandar kita tidak pernah sekali-kali lupa kerana tanpa mereka, kita tahu Putrajaya bukan lagi dalam tangan kita," katanya semasa berucap pada majlis penyampaian sumbangan bantuan baik pulih rumah PPRT 2018 kepada 55 penerima di daerah Kuala Langat.

Menempelak sikap kerajaan Selangor yang megah dengan pendapatan negeri yang banyak serta rizab tinggi tetapi mengabaikan rakyat di luar bandar, Ismail Sabri berkata rakyat luar bandar negeri ini memastikan kerajaan negeri diterajui BN bagi memudahkan perancangan pembangunan luar bandar dan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan.

"Saya tak pernah jumpa Exco kerajaan Selangor untuk berbincang mengenai kebajikan rakyat luar bandar, berbanding negeri-negeri dipimpin BN. Mudah untuk kita ketahui apa bantuan yang wajar disalurkan kepada rakyat luar bandar," katanya.

Bagi bantuan PPRT 2018 di Selangor, beliau berkata Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan RM9.8 juta bagi membina 56 rumah baharu dan membaik pulih 512 rumah.

Mengulas calon perdana menteri sementara Pakatan Harapan (PH) iaitu pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad, Ismail Sabri, yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO berkata: "Cukup-cukuplah Tun (Mahathir) kalau hanya diperalatkan PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan sekutunya."

"Awal-awal mereka sudah sebut perdana menteri sementara, sebab pada mereka perdana menteri mereka hanyalah Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kerana mustahil kumpulan reformis yang disumbat ke dalam lokap pada zaman pemerintahan Dr Mahathir mahu lantik beliau sebagai perdana menteri," katanya.

Semalam, PH mengumumkan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri sementara manakala Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon timbalan perdana menteri sekiranya pakatan itu memenangi pilihan raya umum ke-14.-9/1/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 371  tetamu dalam talian